Friday 25 December 2015

Bab 7 Dia Lelaki Idaman Hati


Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat empat, dengan yakin Riana melangkah keluar dari perut lif. Kaki dibawa ke arah pejabatnya. Tiba-tiba langkah kakinya terhenti. Terkebil-kebil Riana memandang wajah lelaki dihadapannya ini. Fuh! Kecilnya Malaysia.
“Tak sangka jumpa awak di sini. Kerja dengan Chempaka Holdings ke?”
Ish, banyak tanya pula mat salleh celup ni. Sibuk nak tahu hal dia kenapa? “Kenapa saya perlu beritahu awak saya kerja di sini atau pun tidak?”
Raffael tergelak kecil. Dia tahu Riana sengaja buat-buat sombong sebab malas nak melayan dia. “Awak kena beritahu saya sebab saya nak berjumpa dengan Cik Riana Sofea binti Tuan Amin. Dia ada?” Sengaja bertanya sedangkan Raffael tahu Riana yang dia cari sedang berdiri di hadapannya.
Terkejut mendengar namanya disebut oleh Raffael, Riana menjatuhkan tangannya yang disilang di hadapan lelaki itu. “Kenapa cari saya?”
Well, I am Raffael Zahim bin Halim dari Merak Kembar Corporation.  Saya ke sini atas urusan kerja pada hari ini. Bukannya nak mengurat anak dara orang.” Raffael menghabiskan ayatnya dengan ketawa kecil.
Riana menahan geram. Mentang-mentanglah tadi bukan main ramai mata-mata perempuan memandang wajah kacak Raffael, terus lelaki itu perasan! “Hm, awak rupanya Raff yang disebut oleh Encik Khamis petang semalam.”
“Yes sayalah tu. Rindu saya ke?”
Riana buat muka menyampah. “Tak rindu langsung. Jangan nak perasan sangat pagi-pagi macam ni.”

“Takpe tu semua aura positif.”
Pintu biliknya dibuka. “Masuklah. Awak sampai awal sangat..”
“Saya memang suka datang kerja awal.”
Ei, double menyampah dengan Raffael ni! Ada sahaja mulut lelaki itu mahu menjawab apa yang dia kata.
Coffee or tea?”
Fresh orange ada?”
Riana menjeling sedikit. Sabar ajelah!
“Pun boleh..” Bibir dipaksa mengukir senyuman nipis. “Sekejap ya.” Pintu biliknya dikuak sedikit. Kepala dikeluarkan dari celah pintu. Mashitah yang menundukkan ke bawah meja diseru lembut. “Shitah, kopi satu, jus oren satu ya..”
“Ah? Okay.. okay Cik Riana.”
Thanks .”
Pintu kayu itu kembali dirapatkan. Riana bergerak mendekati Raffael yang duduk sambil menyilangkan kakinya di sofa. “So, syarikat Encik Raffael bersetuju dengan sebut harga yang diberi oleh syarikat kami?”
“Nampaknya macam itulah. Kalau tak setuju saya takkan ke sini untuk berbincang lebih lanjut tentang projek ini.”
Riana menggaru bucu keningnya. Bibir dibasahkan sedikit dengan air liur. Cuba untuk mencari ketenangan untuk berbincang dengan lelaki ini dalam suasana yang lebih selesa. Raffael pula asyik memandang wajah dia sejak tadi. Ukur lubang hidung dia berapa sentimeter agaknya!
“Ehem!” Riana berdehem kecil apabila Raffael kelihatan ralit membelek wajahnya.
“Oh, sorry.”
Sekali lagi bibir berpura-pura tersenyum. Alahai. Dia mahu terikat projek kerja bersama Firhad, alih-alih dia terikat dengan Raffael pula. Ayah!!! Riana tak mahu projek ini, Riana nak projek yang Abang Dee uruskan tu! Kuat hati Riana menjerit. Memang tak puas hati.
Puas juga  dia memujuk ayahnya namun langsung tidak diendahkan. Kononnya syarikat Firhad syarikat besar, Rozaidi lebih berpengalaman berbanding Riana yang baru sahaja bekerja. Ayah sarankan dia bermula dengan projek kecil-kecilan dahulu sebelum ke arah projek besar.
Meja kopi di hadapan mereka di ketuk perlahan sehingga menyebabkan Riana tersentak kecil. “Awal pagi sangat ni kalau Cik Riana nak berangan.” Usik Raffael apabila dia yang menyeru nama Riana sebanyak dua kali tetapi tidak diendahkan oleh gadis itu.
Oh, sorry! Saya teringatkan perkara lain pula.”
“Berkenaan dengan anak syarikat kami yang baru, syarikat itu akan diserahkan kepada kami sepenuhnya dalam tempoh dua bulan daripada sekarang. Jadi saya perlukan satu tarikh yang pasti daripada pihak syarikat Cik Riana bila Cik Riana boleh mula dan boleh siapkan kerja Cik Riana?”
“Sebulan atau sebulan setengah..”
“Bila boleh mula?” Soal Raffael sambil keningnya sedikit terangkat memandang wajah Riana.
Next week.”
“Cepatnya. Bagus. Kalau macam tu saya akan berjumpa dengan Cik Riana dengan lebih bermula minggu depan?”
Riak wajah Riana menunjukkan tanda ‘kenapa’?
“Saya ialah pengarah urusan di syarikat baru, jadi saya mahu mengikuti perkembangan syarikat bermula dari proses pembinaan, proses menyiapkan susun atur perabut dan susunan barang-barang di dalam syarikat.”
Apa-apalah Raffael.
“Ada apa-apa soalan dari pihak Cik Riana terhadap projek ni?”
“Rasanya tak ada. Kalau ada nanti saya akan perurusan dengan pembantu Encik Raffael.”
“Tak perlu. Terus berurusan dengan saya aje sebab saya lebih suka kalau Cik Riana terus kepada saya jadi saya tahu setiap inci perkembangan dan masalah yang dihadapi.”
Boleh tak kalau dia nak cakap dia triple menyampah dengan Raffael? Menyampah kuasa tiga? Ei, memang menjengkelkan betul lelaki kacak di hadapan dia ini! Banyak songeh betul.
“Boleh ke berurusan terus dengan saya?”
Riana melunakkan suaranya. “Boleh Encik Raffael. Boleh sangat!”
Great. So macam mana dengan kereta?”
Mashitah yang muncul dengan membawa dulang mengganggu perbualan Raffael dan Riana. “Jemput minum Encik Raffael.”
Raffael hanya membalas senyuman Mashitah dengan anggukan dan sedikit senyuman di wajahnya. Melihat senyuman yang terukir di bibir Raffael untuknya, Mashitah kaku di tempat dia berdiri. Cair melihat senyuman kacak Raffael. Hatinya memuji Raffael berbaldi-baldi. Untunglah siapa yang kahwin dengan lelaki kacak ini.
Riana mencebik di dalam hati. Gatal! Semua perempuan nak menguratkan. Memang jenis tak melepaskan peluang ni! “Shitah awak boleh keluar. Thanks!”
“Ah.. Ya Cik Riana. Saya keluar dulu.”
“Mashitah tu dah bertunang.. Tak elok ganggu perempuan yang dah ada calon suami. Berdosa.”
Terkejut dengan ayat Riana, Raffael terus memandang gadis itu. “Apa saya buat?”
Riana buat-buat tak dengar soalan Raffael. Apa kau buat konon. Kau senyum dekat Mashitah tadi kan? Bukannya dia buta sampai tak nampak senyuman manis Raffael kepada Mashitah sebentar tadi.
Wait. Yang dia menggelabah sangat tengok Raffael senyum dekat perempuan lain ni apahal?
“Cemburu?”
Oh, please!”
Raffael tergelak besar. “Kalau nak cemburu pun boleh. Silakan.. Saya suka kalau awak cemburu Ria.”
“Jemput minum fresh orange awak.” Perkataan fresh orange tu cukup dengung. Perli. Kalau Raffael tak faham dia perli lelaki mat salleh celup itu tak tahulah.
“Minum fresh orange kan bagus untuk kesihatan.. Waktu pagi macam ni memang elok sangat. Kopi yang awak minum tu ada kafien. Awak mesti tak tahu kesan mengambil kafein akan menyebabkan stress. Kombinasi kafein dan stress mempengaruhi kemungkinan seorang mengalami gejala seperti penyakit kejiwaan atau psikosis. Bahaya tau kalau terlalu banyak minum kopi. So, untuk elakkan terlalu banyak minum minuman berkafien, minumlah jus buah-buahan.. Ada banyak vitamin.”
Dah nak jadi pakat nutrisi pulak dekat sini?
“Saya minum kopi waktu pagi sahaja. Sekali dalam sehari jadi awak tak perlulah risaukan saya mengalami masalah jiwa atau tak. Kalau saya ada masalah jiwa saya akan jumpa dengan pakar psikiatrik bukannya jumpa dengan awak.”
Raffael jongket bahu. “Saya nasihatkan aje sebab kafien tak bagus untuk kesihatan manusia..”
“Terima kasih atas kata-kata nasihat awak tu.”
It’s a beautiful night,
We’re looking something dumb to do,
Hey baby,
I think I wanna marry ..
Cawan kopi diletakkan di atas meja kopi di hadapannya semula. “Excuse me.” Riana bangkit mendapatkan telefon bimbitnya yang berada dalam beg tangan Gucci Soho miliknya di atas meja.
Firhad.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Ria sibuk ke?”
Riana berdiri membelakangkan Raffael. “ Eh, takdelah. Ria tak sibuk. Ada apa Abang Ad?”
“Abang nak ajak Ria makan malam hari ni. Ria free tak?”
Ah, kalau tiada Raffael di dalam bilik ini memang dia dah buat lompat bintang lima belas kali! “Boleh.. Boleh Abang Ad. Dekat mana?” Nada suara cuba dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu menunjukkan keterujaan dia untuk keluar makan malam dengan lelaki itu.
“Nanti lepas Maghrib abang ambil Ria di rumah ya.”
“Boleh. Ria tunggu.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam..” Iphone ditarik rapat ke dadanya. Allah, dengar suara Firhad pun dah buat dia rasa lemah lutut sekarang ini. Dah buat hati dia bahagia sangat-sangat.. Inikan pula mahu menatap wajah kacak itu malam nanti.
“Dah habis berangan?”
Terkejut mendengar suara yang bergitu hampir dengan telinga, Riana pantas menoleh ke belakang. Raffael berdiri begitu hampir dengan dia. “Hey, awak jaga tingkah laku awak ya!”
Lelaki kacak itu memeluk tubuh di hadapan Riana. “Kekasih telefon?”
None of your business!”
Raffael rasa mahu ketawa melihat gelagat Riana. Semasa kali pertama dia berjumpa dengan Riana gadis ini tidaklah garang mana.. Kali kedua sedikit garang dan kali ketiga memang garang!
Dia ingat lagi ketika dia meminta kad Riana, langsung gadis itu tidak mahu memberikan dia sebarang kad. Kononnya takut dia akan menghubungi gadis itu tanpa sebab. Riana, Riana. Dan hari ini dia sekali lagi berjumpa dengan Riana atas urusan kerja.
Bukankah ini adalah jodoh dia?
Tapi Riana ada kekasih?
Ah, baru kekasih bukannya suami! Lainlah kalau Riana sudah bersuami. “Saya harap awak ni tak garang sangat dengan kekasih awak tu.. Bukan apa takut dia lari tinggalkan awak pergi dekat perempuan yang lebih manja.”
“Sibuk aje awak ni kan. Sinilah cepat.. Kata nak bincang pasal projek.” Kaki melangkah ke sofa semula.
Raffael ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Kakinya melangkah juga ke sofa di dalam bilik Riana. “Saya belum bagi awak pelan syarikat macam mana nak mulakan kerja?”
Give it to me now.”
Dia nampak anak mata Riana menunjukkan sinar yang sangat bersemangat untuk memulakan kerja. “Saya harap awak takkan ubah fikiran dengan memilih syarikat kami untuk membuat susun atur syarikat awak.” Ujar Riana sedikit berhati-hati. Dia pernah terkena sekali, dia takut kalau dia terkena sekali lagi.
“Why should I?”
Mendengar soalan itu dilantunkan oleh Raffael, Rania hanya tersenyum. “Manalah tahu nanti tiba-tiba ada syarikat lain yang datang tawarkan awak harga yang lebih murah tetapi menggunakan konsep yang sama macam syarikat saya..” Berhati-hati dia meluahkan rasa. Dia perlu berlapik dalam berkata-kata. Nanti kalau terlepas cakap buruk pasal syarikat orang lain susah pula.
Dia juga tidak mahu Raffael memandang dia sebagai gadis yang bermulut laser atau suka bercakap buruk mengenai orang lain.
“Saya pilih syarikat awak berdasarkan kelayakan yang syarikat awak miliki. Soal syarikat lain tawarkan harga yang lebih murah itu saya tidak pasti.. Mungkin harga murah dan menggunakan bahan yang sama tetapi kualiti kerja yang berbeza. Kan?”
Lega Riana mendengar kata-kata Raffael. Sejuk hati dia berdepan dengan lelaki ini ketika ini.
“Jadi boleh saya tahu apa konsep yang syarikat Encik Raffael nak ketengahkan?”
Modern, please.”
Tanpa sedar bibir mengukir senyuman. Dia tahu lelaki seperti Raffael pasti sukakan gaya hidup yang moden, rumah yang moden dan suasana bandar. Kalau tidak masakan lelaki itu akan memilih untuk membeli motosikal berkuasa tinggi yang mampu membeli sebuah Toyota Vios TRD secara tunai! Nampak sangat jenis sukakan kehidupan yang santai dan bujang.
“Kereta awak elok?”
Kepala diangkat memandang lelaki di hadapannya. “Yeah.. Boleh bergerak sampai hari ini. Thank  for helping me the other day.” Entah dah kali yang ke berapa dia ucapkan terima kasih.
Small matter.” Bibir tersenyum manis ke arah Riana. “Pukul berapa awak sampai rumah?”
Almost eleven. Ibu saya masih tunggu lagi waktu tu..” Riana tergelak kecil mengingati kejadian lebih seminggu lalu. Bila dia sampai aje terus muka Puan Zaimah terpancul depan muka pintu utama. Berlari-lari Puan Zaimah keluar dari rumah memeluk dia. “Ibu saya memang macam tu, risau sangat.”
“Mungkin awak tak biasa balik lambat agaknya.”
Riana mengangguk mengiyakan kata-kata Raffael. Memang dia jenis anak manja ibu dia sejak dulu lagi. Nak ke mana-mana mesti berteman dan teman itu pastinya dikenali oleh Puan Zaimah. Sepanjang dia berada di UK dulu memang selalu sahaja Puan Zaimah menelefon bertanyakan lokasi dia ketika itu. Anak bongsulah katakan.
“Awak nak gunakan warna putih dan hitam?” Kepala yang diangkat berlaga pandangan dengan anak mata Raffael. Lekas-lekas pandangan matanya dilarikan dari wajah lelaki itu. Sejak bila pula Raffael asyik menilik wajah dia, langsung dia tak perasan. Sibuk melukis pelan susun atur syarikat baru Raffael di atas kertas.
“Awak rasa?” Pandangan mata Raffael masih melekat pada wajah Riana. Menggelayah tak tentu pasal gadis ini. Comel!
“Encik Raffael kan pelanggan saya jadi elok kiranya Encik Raffael tentukan sendiri warna pilihan Encik Raffael.”
“Saya nak awak tentukan.”
Sabar Riana, jangan menggelabah. Saja aje lelaki depan kau ni nak main-main dengan kau. Be professional okay. Riana membetulkan duduknya. “Elok rasanya putih dan hitam. Sesuai dengan syarikat Encik Raffael.. Syarikat orang muda.”
“Kalau awak cakap putih dan hitam saya ikut aje. Awak pakar dalam bidang hiasan dalaman kan, jadi apa-apa sahaja yang elok pada pandangan mata awak pasti elok juga pada pandangan mata pelanggan saya nanti.”
Senangnya berurusan dengan orang yang tak banyak kerenah macam ni! Seronok kalau ada seribu pelanggan macam Raffael ni. Senang kerja dia.. Tak payah nak tukar itu ini berkali-kali.
“Thank you kerana mempercayai hasil kerja saya.”
You are welcome.” Raffael duduk bersandar di sofa. “Sebagai tanda menghargai pelanggan awak yang tidak banyak kerenah ni, boleh kita makan tengah hari bersama?”
Riana menarik selendangnya ke belakang sedikit. “Minta maaflah Encik Raffael hari ni saya ada janji dengan orang.”
Boyfriend?”
Wajah dimaniskan. Sibuk aje Raffael ni! “Bukan.. Orang lain.”
Well, nampaknya takde rezeki saya nak makan bersama awak tengah hari ini. Maybe next time?”
“InsyaAllah.”
“Kalau macam tu saya balik dululah. Mungkin kita bincangkan pasal jenis perabot semua tu lain kali pula. Awak boleh bawa saya ke kedai yang sesuai dengan cita rasa saya nanti, kan?”
Sure. Pasti boleh.” Riana turut sama berdiri bersama lelaki itu.
See you next time.”
Riana terduduk di sofa apabila wajah kacak itu hilang dari pandangan matanya. Fuh! Kus semangat dia mengadap muka handsome Raffael berjam-jam lamanya! Nasib baik perangai agak nakal sedikit. Kalaulah Raffael jenis lemah lembut dan sopan macam Firhad confirm dia jatuh cinta tergeolek-golek!
Tadi pun bukan main susah dia nak kawal anak mata dia daripada melekat dengan muka kacak Raffael. Sekali-sekala bila mata dia berlaga dengan anak mata coklat milik Raffael hati dia berdegup kencang sampai rasa senak perut. Gelabah sangat!
Entah kenapa wajah lelaki itu mempunyai satu tarikan yang membuatkan anak mata dia ingin menatap wajah itu. Adakah kerana lelaki itu terlalu kacak? Atau kumis nipis yang menghiasi wajah itu menjadi tarikan pada wajah Raffael?
Riana tersandar di sofa. Menyentuh dadanya. Bibir menyebut sebaris nama itu dan ada debaran halus di dadanya.
Apakah penanda?
Jodoh atau bala?

p/s : Tajuk untuk e-novel ni mungkin akan ada perubahan ye. Nanti Sri beritahu kemudian aok. Love you all! :)

Thursday 3 December 2015

Bab 6 Dia Lelaki Idaman Hati


Riana meletakkan fail di atas meja kerjanya. Dia perlu berjumpa dengan Tuan Amin berhubung dengan satu syarikat baru yang mahu mereka menghantar sebut harga.
Gagang telefon diangkat. “Assalamualaikum. Kak Lizah, Tuan Amin ada?” Riana menyapa pembantu peribadi ayahnya. Lizah binti Ahmad Sabri.
“Waalaikumussalam. Ada Cik Ria. Nak jumpa dengan Tuan Amin sekarang ke?” Soal Lizah di hujung talian sana.
“Tuan Amin ada tetamu ke?” Riana masih berdiri di sisi mejanya. Belum sempat duduk lagi. Kalau boleh dia mahu berjumpa dengan ayah dia sekarang juga. Banyak kerja dia sekarang ini.
“Hm.. Ada tetamu. Encik Firhad Hizami dari Titian Jaya Corporation.”
Mendengar Lizah menyebut nama Firhad Hizami, tubuh yang tadi tersandar lesu serta-merta tegak berdiri. Firhad ada di sini? Kenapa lelaki itu tak cakap pun yang nak singgah ke sini?
“Kalau macam tu takpelah Kak Lizah. Kejap lagi Ria ke sana..”
Tanpa menunggu balasan dari Lizah terus sahaja gagang telefon diletak. Jari mengetuk meja. Apa lelaki itu buat di sini? Saja nak berjumpa dengan dia? Atau Firhad ada apa-apa projek dengan syarikat ayah dia? Eh kalau ada tak pernah dengar pun ayah sebut apa-apa sebelum ini.
Fail berwarna merah di atas meja di capai laju sebelum kaki dibawa menuju ke pintu keluar.
Pintu bilik Tuan Amin diketuk sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik Pengarah syarikat Chempaka Holdings.
“Assalamualaikum ayah.” Sapa Riana manja.
“Waalaikummussalam. Ria.. Masuklah.”
Riana sengih. Baru suruh masuk, padahal dia sudah melangkah masuk ke dalam bilik ini. “Abang Ad pun ada dekat sini?” Cewah, buat-buat tanya lagi padahal tadi Kak Lizah memang dah beritahu awal-awal lagi pada dia yang Firhad ada di sini. Mengadalah kau Riana!
“Haah, abang singgah sebab ada hal dengan Uncle Amin. Ria ada apa-apa nak bincang dengan Uncel Amin ke?”
“Eh, takdelah.. Saja je nak melawat ayah dekat sini. Tak sangka pula Abang Ad pun ada dekat sini juga.” Dah seminggu dia tak nampak wajah kacak Firhad. Lelaki itu hanya dua kali menelefon dia selepas mereka keluar makan bersama tempoh hari.
“Baiklah uncle, Ad balik dululah. Rasanya macam dah selesai urusan kita tadi.” Bibir Firhad senyum mekar memandang wajah Tuan Amin yang duduk bertentangan dengannya di sofa.
“Abang Ad dah nak balik ke? Ala, tak sempat nak lunch sama-sama..” Kau cakap ajelah kau nak ajak Firhad makan tengah hari bersama Riana oi, nak berkias-kias pula!
Sorry Ria, hari ni memang tak sempat. Next time ya? Abang janji.” Lima jari naik ke udara tanda berjanji dengan Riana.
“Sibuk sangat ke?”
Seriously super busy this week. Next week kita makan sama-sama, abang janji.”
“Janji?” Mimik muka dimanjakan kepada Firhad. Aduh! Riana. Ingatkan dah berubah rupanya masih sama juga sikap dia.
“Janji. Nanti abang call Ria ya?”
Riana tersenyum manja. Firhad bersalaman dengan Tuan Amin dan melangkah meninggalkan bilik Pengarah Chempaka Holdings.
Tuan Amin duduk semula di tempatnya sebentar tadi. “Bukan saja-saja nak datang jumpa ayah kan?”
Riana menoleh dan sengih segan kepada ayahnya. “Bila Abang Ad sampai? Dah lama ke dia dekat sini?”
“Dah lamalah tu pasal dah balik.. Ria dari mana?”
Breakfast dengan Asma tadi sebab tu Ria masuk lambat sikit. Sorry.” Muka kasihan ditayangkan di depan ayahnya. Janganlah kena marah. Ayah selalu pesan kalau berniaga sendiri masa adalah rahsianya. Kalau tak reti nak menguruskan masa memang rezeki akan lari. Jadi semuanya adalah berkaitan dengan pengurusan masa. Kalau asyik nak utamakan benda lain berbanding perniagaan memang boleh lingkuplah Chempaka Holdings.
“Ria, masa itu ..”
Belum apa-apa Riana terus memintas kata-kata Tuan Amin. “Ya, Ria faham tapi Asma ada masalah. Ria kena juga ada masa untuk kawan-kawan Ria.. Ayah tak boleh hanya utamakan syarikat berbanding perkara lain.”
“Selama ayah berniaga ada Ria nampak ayah abaikan keluarga? Ada Ria nampak ayah abaikan ibu? Ada Ria nampak ayah tidak menghadiri majlis keraian kawan-kawan ayah? Takde kan?”
Riana mengangguk perlahan.
“Sebab itulah pengurusan masa sangat penting. Kalau Ria tahu Ria ada urusan penting jangan tangguh kerja. Buat kerja sampai siap lepas tu baru jumpa kawan-kawan.”
Yeah, I am sorry ayah.”
Tuan Amin mengeluh kecil. “Ria nak cakap pasal sebut harga syarikat ya?”
Riana pantas mengangguk. Macam mana ayah dia tahu?
“Abang Dee dah uruskan pasal sebut harga yang diminta oleh syarikat tu. Email tu dihantar dua hari lepas, Ria!”
Riana tepuk dahi. Dia baru semak emel semasa sarapan pagi bersama Asma sebentar tadi. Memang terkejut beruklah dia bila tengok emel itu dihantar pada dua hari yang lalu. “Ria minta maaf sebab Ria tak perasan.. Ria tak ingat langsung nak semak emel.”
Tuan Amin bersandar di sofa. “Bekerja sendiri bermaksud kita boleh adjust waktu kita bekerja tapi ayah dah tetapkan waktu kerja di syarikat kita ialah pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Selepas pukul 5.00 petang Ria boleh buat apa yang Ria suka sebab waktu kerja dah tamat. Lepas ni ayah harap kalau Ria betul-betul nak berjaya dalam kerjaya Ria, pastikan Ria ikut waktu kerja yang betul.”
Riana rasa terpukul dengan kata-kata Tuan Amin. Memang terasa habis! Selalu sahaja dia masuk kerja lewat kerana dia akan singgah bersarapan dengan Asma dahulu pada setiap pagi. Kadang-kala dia tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
“Ria memang datang kerja lambat tapi Ria balik lambat jugak kan.. Jadi Ria bayar waktu kerja Ria tu..”
Mata menangkap gelengan kepala oleh ayahnya. “Salah tu Ria. Waktu kerja pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Jadi wajib untuk Ria patuhi waktu kerja.. Kalau masuk lambat, Ria tetap salah. Melanggar etika kerja.. Sama ada Ria nak balik lewat atau tepat pada masanya itu hak ia bukannya undang-undang syarikat kita ada menyatakan kalau masuk lambat kena balik lambat. Takde.”
Riana hanya mengetap bibirnya rapat.
Dulu bolehlah dia merajuk dengan ayah dia. Sekarang dia sudah besar. Sudah berjanji dengan diri sendiri tidak mahu menjadi anak manja yang dibenci oleh orang lain lagi. Tidak mahu mendapat layanan istimewa walaupun dia anak pemilik syarikat ini. Itu juga yang dia pinta sebelum masuk bekerja dengan ayahnya. Sekarang ni bila kena marah, hambek! Kau tadah ajelah telinga kau.
Okay, Ria minta maaf.. Lepas ni Ria janji Ria takkan masuk kerja lambat lagi ya, bos?”
Tuan Amin tergelak dengan lawak anak bongsunya. “Sudah la, ayah bukannya marah Ria. Ini teguran. Ayah tak nak nanti orang cakap Ria senang sebab kerja dengan ayah sendiri lepas tu suka ambil kesempatan. Nak ke orang cakap macam tu?”
Pantas Riana menggeleng. Memang itulah yang dia cuba elakkan sejak dulu lagi. Selepas dia jauh dari keluarga, merantau dia negara asing seorang diri dia kenal erti kehidupan. Dia kenal erti berdikari.
“Janganlah cakap macam tu. Ayah tahukan Ria memang suka bekerja kuat.. Ria tak harapkan apa-apa dari ayah.”
“Iyelah.. Sekejap lagi kita makan tengah hari dengan Abang Dee.”
“Abang Ad?”
Tuan Amin tergelak dengan soalan Riana. “Ad tak makan dengan kita. Ria sendiri dengar tadi Ad cakap dia ada kerja kan..”
Kecewa.
“Kenapa Abang Ad datang sini tadi? Ria ingat dia datang nak jumpa Ria.”
“Syarikat kita ada satu projek usahasama dengan syarikat Uncle Musa.”
Laju sahaja Riana mencelah. “Projek apa? Biar Ria uruskan projek tu ayah! Ria nak projek tu. . Please.”
Oh Riana! Kau dah macam perempuan terdesak sangat.
Tawa Tuan Amin masih bersisa. “Kalau Ria sukakan Ad tu sangat kenapa Ria tak terima aje pinangan Auntie Ani?”
Nafas dihela berat. “Ria tengok Abang Ad macam tak kisah pun pasal lamaran tu. Abang Ad pun takde cakap apa-apa pada Ria pasal lamaran tu..” Semasa mereka makan bersama minggu lepas Firhad langsung tidak menyebut soal lamaran Puan Nani. Dia tunggu juga tapi akhirnya hampa sendiri.
“Habis Ria tunggu Ad yang lamar Ria?”
Lambat-lambat kepalanya diangguk.
“Kenapa Ria nak buat benda yang senang jadi susah? Kan ayah dah cakap yang Auntie Ani dengan Uncle Musa tu dah memang ikut caranya.. Betullah tu datang meminang Ria. Tak perlu nak datang segerombolan manusia semua tu..”
“Bukan macam tu ayah..”
“Habis macam mana? Ad sendiri kena lamar Ria cara yang macam orang putih buat tu? Hm, itulah banyak sangat tengok drama.. Banyak sangat baca novel-novel merepek.”
Riana tersandar di kerusi kulit. “Ayah tak faham. Ria dengan ayah bukannya lahir pada tahun yang sama. Cara Ria membesar tak sama macam ayah.”
“Zaman tu bukan penentu apa yang betul dan tidak. Zaman tidak menghalalkan apa yang salah.. Tak kisahlah Ria lahir zaman batu sekali pun, kalau dah betul caranya melamar anak orang memang gitulah caranya Ria..”
Tangan naik menggaru pipi kanannya. Perlahan-lahan jari-jamari menari di pipi itu. “Ria Cuma nak tengok kesungguhan Abang Ad untuk memperisterikan Ria aje. Dia senyap aje, langsung tak cakap apa-apa..”
“Itu ayah kurang setuju dengan Ria. Dah memang ikut adat sangat keluarga lelaki datang berjumpa dengan keluarga perempuan untuk merisik dan hantar cincin tanda. Ayah pun tak suka kalau Ria nak ikut sangat budaya orang luar negara sana tu. Abang Dee pun tak bercinta dengan Kak Rus sebelum kahwin. Dia berkenan aje terus minta ibu dengan ayah pinangkan Kak Rus untuk dia.”
“Abang Dee lain ayah. Kak Rus memang tak layan ayat-ayat manis abang..” Dia kenal sangat dengan sikap Siti Fairus kakak ipar dia. Bukannya jenis jiwang dan tangkap lentok macam dia. Dia kalau boleh teringin juga ada lelaki melutut di kaki dia tanya dia sudi ke tidak berkahwin.
“Habis Ria nak tunggu Ad tu pujuk Ria, merayu, melutut dengan satu kaki depan mata Ria baru Ria sudi nak terima dia?”
Dia perempuan muda yang membesar dalam era 2000. Memanglah dia impikan ada lelaki yang melutut dengan sebelah kaki depan dia dan tanya ‘will  marry me?’. Barulah nampak macho dan tertanya keikhlasan lelaki itu nak memperisterikan dia.
Tuan Amin bangkit berdiri menghadap tingkap. Memandang ke luar jendela. Langit yang cerah menarik perhatian dia. “Ria, Uncle Musa dengan Auntie Ani tu memang berkenan sangat dengan Ria sejak dulu lagi. Ayah yang minta tangguh sebab ayah nak tunggu Ria tamat belajar. Ayah nak Ria jadi seorang wanita bekerjaya sebelum Ria menjadi seorang isteri.”
Riana memandang wajah Tuan Amin yang berdiri memandang wajahnya. “Ria fikir dulu ya?”
Tuan Amin mengeluh kecil. “Ayah tak paksa Ria tapi ayah nak Ria tahu ayah ada hak untuk menerima lelaki yang layak untuk menjadi suami Ria.”
Ayah! Kalau Firhad tu ayah nak terima dia memang nak sangat-sangat tetapi dia nak tahu adakah Firhad sudi memperisterikan dia atau Firhad tidak tahu apa-apa soal nikah kahwin ini.
Riana bangkit berdiri. “Ria keluar dululah. Jumpa ayah masa makan tengah hari nanti.”
“Ria.”
Langkah Riana terhenti.
“Pasal projek yang Ria nak tu nanti ayah fikirkan.. Ayah tak boleh putuskan sekarang siapa yang akan uruskan projek dengan Titian Jaya Corporation.”
Lebar senyuman Riana sambil mengangguk sebelum meninggalkan bilik Tuan Amin.

Beg kerja dicampak ke atas katil. Tubuh dihempas terlantang di atas katil. Memandang siling putih yang bersih tidak bersawang.
Berkedip-kedip mata Firhad memandang siling. Penat baru pulang dari kerja belum hilang, mama sudah menambah pula penat otak dia.
“Mama dah cakap dengan keluarga Ria pasal pertunangan ni. Ad jangan nak malukan mama!” Puan Nani penuh beremosi apabila Firhad menolak untuk bernikah dengan Riana.
“Ma, kan Ad dah cakap kalau Ad nak kahwin Ad akan cari calon Ad sendiri.”
Puan Nani mundar-mandir depan Firhad. “Apa yang kurangnya Riana? Cantik, manja, bekerjaya! Sopan-santun. Pandai ambil hati orang tua.. Apa lagi yang tak kena pada Ria?”
Firhad memegang kepalanya yang terasa berat. Patutlah Riana sering memandang dia seperti menantikan sesuatu semasa mereka kali pertama keluar minggu lalu, rupanya Riana memang menantikan dia untuk membuka mulut soal ini.
Ah! Waktu itu manalah dia tahu apa-apa. Dia pun baru sahaja pulang dari Bangkok atas urusan kerja memang dia langsung tidak mempunyai masa untuk berbual dengan mama dia. Selepas makan tengah hari dengan Riana tempoh hari memang dia langsung tidak menghubungi Riana kerana dia perlukan masa untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. Dia perlu menjaga hati banyak pihak.
Riana! Riana!
“Bagi Ad masa mama. Ad belum bersedia lagi nak kahwin.”
“Jangan melampau Ad! Ad tu dah 31 tahun. Nak tunggu sampai mama ni tutup mata dulu baru nak kahwin?”
Aduh. Ini yang malas kalau bercakap pasal kahwin dengan mama dia. Memang papa akan senyap tak bagi apa-apa komen.
“Mama, kan Ad dah cakap dia nak cari jodoh dia sendiri.. Mama pun janganlah sibuk hal dia.” Fitriyati ialah kakak sulung Firhad. Dia rasa dia perlu membela Firhad. Kasihan pula Firhad asyik kena marah dengan mama dia.
“Yati pun sama! Umur dah 33 tahun tapi sampai sekarang tak kahwin lagi. Entah apa yang Yati cari mama pun tak faham.. Lelaki yang mama kenalkan semua tak kena pada mata Yati!”
Majalah ditangan ditutup kasar. “Mama, Yati dah besar.. Pandailah Yati nak cari suami. Mama ingat nak cari suami ni macam pilih baju dekat butik ke? Berkenan aje terus kahwin? Oh, please lah!”
Puan Nani memegang kepalanya. Pening dia dengan anak dia! Dua-dua belum kahwin. Jiran-jiran selalu aje buat kenduri kahwin, dia sekali pun belum lagi. Zanariah sebelah rumah ni dah tiga kali buat kenduri kahwin. Yang bongsu pun dah nak kahwin akhir tahun ini. Anak dia pula langsung tak laku-laku!
“Kamu berdua ni tak tengok ke anak-anak Auntie Zanariah tu semua dah kahwin! Ni anak mama dua orang sorang pun tak kahwin lagi!”
“Anak-anak Auntie Zanariah tu semuanya gatal nak berkahwin awal, ma. Mama jangan nak salahkan kami pula sebab belum kahwin! Yati sekarang ni sibuk dengan urusan kerjaya, takde masalah nak fikir pasal lelaki ni!”
Puan Nani mundar-mandir depan anak-anaknya. “Cakap aje pasal kahwin takde masa. Habis tu menghadap kerja sampai lewat malam tu ada pula masa Yati?”
“Yati naik atas dulu. Mata ni dah mengantuk pula.. Esok ada kes awal pagi. Good night.” Firhad memerhati Fitriyati melangkah meninggalkan ruang tamu dengan hati yang sebal. Tak guna betul kakak dia! Tinggal dia mengadap mama dia seorang diri.
“Biarlah anak orang. Anak mama sibuk dengan kerja tak sempat nak cari isteri.” Balas Firhad bersahaja. Malas mahu memanjangkan isu ini kepada Puan Nani lagi.
“Ad jangan ingat mama tak tahu apa yang Ad sembunyikan daripada mama selama ini ya? Ad jangan ingat mama diam bermakna mama tak tahu apa-apa.”
Bibir mengeluh. Nasib badan.
Tok! Tok!
Lamunan sebentar tadi hilang serta-merta. Tubuh yang bermalas-malasan di atas katil bangkit menuju ke pintu.
Melihat wajah yang berdiri di depan muka pintu, hati Firhad bertambah menyampah. Kalau datang sekadar nak memerli dia baik tak payah datang ke bilik dia. “Em, akak nak apa?” Malas sahaja dia mahu melayan Fitriyati. Tadi kata mengantuk, padahal dia tahu kakak dia belum tidur pun. Bilik kakak dia pun masih terang-benderang sebentar tadi.
“Mama cakap apa dengan kau tadi?”
“Takde apa-apa yang penting untuk kakak tahu pun.” Punggung dihenyak di atas katil. Fitriyati membontoti dari belakang. Berdiri sambil memeluk tubuh di hadapan Firhad.
“Eleh. Kau jangan nak berahsia sangat dengan aku, boleh tak?”
“Apa benda yang Ad rahsiakan daripada akak? Mana ada rahsiakan apa-apa pun. Akak pun dengar sendiri apa yang mama suruh tadi. Mama suruh kita kahwin. Telinga tu tertinggal dekat court ke?”
“Mama nak kau kahwin dengan Riana cengeng tu lagi ke?”
“Dia bukan macam dululah kakak. Riana sekarang ni dah lain.. Matang dan bersopan-santun.”
Spontan tawa mengejek keluar dari bibir Fitriyati. “Ad, come on lah. Kau kalau tak nak kahwin kau cakap ajelah tak nak. Tapi aku rasa Ria tu memang syok dekat kau sejak dulu lagi jadi aku rasa dia akan terima pinangan mama!” Sengaja mahu menakutkan Firhad.
“Kakak jangan nak memandai ya! Ria dengan Ad macam adik dengan abang ajelah.”
“Kalau kau tak percaya kau cuba ajak dia kahwin. Kalau dia setuju maknanya dia memang sukakan kaulah Ad.”
Firhad terdiam mendengar cadangan kakaknya. Biar betul selama ini Riana sukakan dia. Ish, Riana anggap dia macam Abang Dee aje kot? Sayangkan dia macam mana gadis itu sayangkan Abang Dee.
“Kakak keluarlah! Ad nak mandi ni. Tadi cakap mengantuk.. Pergi tidur!” Firhad menolek tubuh kakaknya sehingga keluar tadi bilik. Menghalau wanita berusia 32 tahun itu. Mulut macam bertih jagung bercakap tanpa henti memang elok sangat dengan kerjayanya sebagai peguam selama ini.
“Kau halau aku sebab kau nak call Riana cakap kau nak kahwin dengan dia, kan?”
“Hello! Boleh tak kalau jangan masuk campur urusan orang?”
Fitriyati ketawa kuat. “Kau rasa kasihan dekat diri kau tak Ad?”
Firhad memandang kipas yang berputar perlahan di siling. “Apa benda yang nak kasihannya?”
“Kena kahwin paksa.” Tawa Fitriyati terburai kuat. Wajah Firhad sudah mula bengang. “Firhad yang kacak kena kahwin paksa. Kelakar Ad, kelakar!”
“Get ou! Get out!”
“Oh, pity you the handsome Ad! Selamat malam bakal suami Riana!” Sengaja mahu mengusik adiknya.
Nonsense!”
Fitriyati tergelak besar apabila Firhad buat muka menyampah. “Menyampahlah kau dik, lepas ni confirm kau kahwin dengan Riana! Kau takkan sampai hati nak hampakan harapan mama.” Fitriyati membuka semula pintu bilik Firhad dan lelaki itu sudah terbaring di atas katil.
Get out!” Sebiji bantal dicampak ke arah kakaknya dan bantal hanya mencium belakang pintu kerana Fitriyati terlebih dahulu menutup kembali pintu bilik tidur Firhad.
Argh!
Firhad menjerit dalam hati. Serabutnya!
Takkan lelaki macho macam dia pun terjerat dalam perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga? Oh, tolonglah! Dia dibesarkan di luar negara.. Menghabiskan hampir separuh hidupnya di luar negara dan perkara seperti ini adalah tidak pernah terlintas di hatinya. Jodoh pilihan keluarga?
No way!
Takkan mama boleh terfikirkan idea macam ni?
Bantal ditekap ke mukanya. Pening dengan rancangan mama yang tidak bertanya pendapat dia terlebih dahulu.
Habislah.