Friday 29 November 2013

Bab 25 Cinta Tak Akan Berakhir


                        
Tangisan esak Azara dalam perbualan telefon sebentar tadi membuatkan Hanis tidak senang duduk di rumah lalu meminta Khairul menghantar dia ke rumah Azara.
“Kau buat aku rasa nak beranak aje tadi tau!”Hanis menghenyak punggungnya di atas sofa berwarna putih di sisi Azara. Segelas air berisi jus oren di letakkan di atas meja kopi dihadapan mereka berdua.
“Aku tak suruh kau datang sini pun. Aku telefon kau sebab aku nak berbual dengan kau aje tadi.” Wajah bimbang Hanis dipandang dengan pandangan simpati. Dah la tengah tunggu masa aje nak bersalin, bila dapat panggilan telefon dia teresak-esak menangis memanglah terkejut.
“Kau ni kenapa? Aku tanya dari tadi lagi kenapa kau menangis kau tak jugak cerita pasal sekarang ni. Apa masalah kau kali ni? Izreen buat apa dekat kau?” Deng! Tepat sekali tekaan Hanis.
“Malaslah aku nak cakap pasal ni Anis. Kau ada depan aku sekarang ni pun aku dah rasa seronok sangat. Baby boy tendang tak?” Azara mendekatkan kepalanya ke perut Hanis dan meletakkan tangannya di atas perut bulat kawan baiknya itu.
“Zara, aku tengah cakap pasal kau bukannya cakap pasal perut aku ni.” Kepala menunduk sedikit memandang Azara yang tunduk separas pinggangnya.
Sikap diam membisu Azara membuatkan Hanis mulai geram. “Zara!” Tangan laju sahaja menampar bahu Azara.
“Sakitlah!”
“Tahu pun sakit. Aku cakap dengan kau bukannya dengan meja depan ni. Kau boleh tak pandang muka aku?” Suara Hanis mula meninggi sedikit. Geram dengan Azara. Tadi menangis macam orang gila sampai tak faham sepatah apa pun Azara cakap, sekarang ni bila dia ada depan muka Azara boleh pula Azara buat muka toya macam tiada apa-apa yang berlaku.
“Tadi kau menangis macam orang mati laki, sekarang ni kau sibuk nak ukur perut aku pulak. Boleh tak kau serius sikit?”
Azara panggung kepala pandang wajah Hanis. “Laki pun takde, bila masa nak matinya…”
“Sibuk buat benda lain sampai tak sempat nak cari laki?” Hanis membalas kata-kata Azara dengan perlian. Biar terasa sikit. Sampai bila nak membujang entah. Razlan tu sempurna aje di mata dia, Azara aje yang asyik menolak.
“Belum ada jodoh.”
“Belum ada jodoh apa bendanya Zara kalau kau asyik tunggu aje. Tu Razlan kan dah cakap dia sukakan kau, apa lagi kau tunggu?”
“Tunggu anak kau lahir.”
Hanis ketap bibirnya geram. Azara ni ingat dia tengah buat lawak antarabangsa ke apa dekat sini?
“Zara, kau jangan buat aku geram dengan kau boleh tak? Kang aku call Razlan baru kau tahu!”
Mata Azara membulat besar mendengar nama Razlan yang terpancul dari bibir Hanis. Apasal nak sebut nama lelaki itu malam-malam macam ni. Isk tak sukalah macam ni. Dah la lelaki itu tidak berterus-terang dengan dia pasal Izreen, sekarang ni Hanis pula asyik nak sebut nama lelaki itu.
“Jangan sebut nama dia, tak suka.”
Hanis sembunyi senyum. Tak suka konon,padahal suka bukan main lagi. Macamlah dia tidak tahu bahawa Azara juga mempunyai perasaan terhadap Razlan namun cuba disembunyikan sebaik mungkin. Bukan dia baru kenal dengan Azara ni, dah lama gila sampai satu keluarga semua pun dah kenal Azara dan keluarga dia dah kenal keluarga Azara.
“Zara,kau dengan aku dah macam adik-beradik. Kau cakap tak suka pun aku tahu apa yang ada dalam hati kau..”
Nafas dihembus kuat. “Aku tak suka kau sebut pasal dia.”
Hanis angkat kening. Pelik! Selalunya Azara yang beriya-iya cerita pasal Razlan alih-alih hari ini Azara pula tak suka cakap pasal lelaki itu? “Raz tahu tak kau balik rumah kau malam ni?”
Kepala digeleng perlahan.
“Kau tak cakap dengan Razlan yang kau balik sini? Patutlah Razlan macam nak gila cari kau.”
Azara menjuihkan bibirnya. Nak gila ke, dah gila ke.. Dia peduli apa. Kalau Razlan nak sangat cari dia kenapa tak pergi rumah mak dan abah dia siang tadi? Bukannya Razlan tak tahu yang dia ke sana.
“Ni apasal buat bibir macam ni?” Hanis mencubit pipi Azara.
“Janganlah cubit, sakit tau tak.”
“Tak tahu sebab tu aku cubit. Kalau tahu sakit, aku cubit lagi kuat daripada tu tadi.” Hanis membetulkan duduknya yang terasa tidak kena. Lenguh betul belakang dia sejak-sejak nak bersalin ni. Bila-bila masa sahaja dari sekarang air ketubannya boleh pecah.
“Kau datang sini Khai tak bising ke?” Kening di angkat sedikit sambil menyoal Hanis.
“Gila kau tak bising, memanglah bising sebab dia takut aku beranak dekat sini.. Tapi aku dengan yakinnya cakap dekat dia jangan bimbang. Mungkin empat lima hari lagi ni..”
Mulut Azara terlopong. Gila! Empat lima hari lagi nak bersalin Hanis boleh selamba badak air aje berjalan ke rumah dia malam-malam macam ni? “Nis, kau jangan buat gila. Kang kau sakit nak beranak kang aku bukan tahu nak buat apa..” Tubuh dikalih menghadap Hanis yang sedang meneguk air oren.
“Bukannya aku nak bersalin sekarang ni pun.. Lagi satu kau memang tak tahu nak buat apa tapi doktor tahu lah…” Gelas diletakkan semula di atas meja dan Hanis terkial-kial mahu bangkit dari sofa.
“Ni nak ke mana pulak?” Aktif betul kawan baik dia ni. Sekejap duduk, sekejap berjalan.. Tak boleh duduk diam langsung!
“Kau masak apa, Zara? Laparlah.”
Azara spontan tergelak besar melihat Hanis mengusap perut boyotnya. “Kau ni memang mak buyung! Perut dah besar macam tu pun masih lapar lagi ke?”
“Ini bukan besar sebab kenyang, ini besar ada isi tolong makan semua makanan aku tau!” Hanis juga turut tergelak besar.
“Jom.. jom. Aku dah masak menu special untuk kau. Sesuai untuk kau dalam pantang nanti.”
Dahi licin Hanis sudah berubah menjadi berlapis-lapis. Menu dalam pantang? Menu apa pula yang Azara masak untuk dia ni?
“Kau duduk sini, aku hidangkan makanan untuk kau.” Kerusi meja makan ditarik dan Hanis dipaksa duduk di situ.
“Tak payah tolong kau ke?”
“Tak payah, aku boleh buat sendiri. Bukannya ada banyak makanan nak hidang dekat kau pun. Satu menu aje.” balas Azara langsung tidak menoleh ke arah Hanis.
Dua biji mangkuk jenama Corelle diambil dari kabinet. Satu senduk berwarna hitam digunakan untuk menceduk makanan ke dalam mangkuk tadi.
“Kau masak apa tu Zara yang lama sangat nak hidangkan makanan untuk aku ni?” Hanis melaung sedikit kuat dari ruang makan.
“Sabarlah! Kau ni tahu tak yang bersabar itu separuh daripada iman?”
Sudahnya Hanis hanya mendiamkan diri sehinggalah Azara datang dengan menatang sedulang makanan beberapa minit kemudian.
“Nah, makanan istimewa untuk kau malam ni.”
Biji mata Hanis bagaikan mahu terkeluar melihat menu makan malam Azara. “Kau sakit ke?”
“Tadi aku rasa macam nak sakit.. mungkin sebab banyak sangat menangis sampai aku rasa sakit nak mati waktu tu tapi bila tengok muka kau aku dah rasa sihat semula.” Azara meletakkan satu mangkuk yang berisi bubur nasi di hadapan Hanis.
“Sebab tu kau masak bubur nasi?”
Azara angguk laju. “Orang sakitkan makan bubur nasi. Kalau aku tak masak sendiri siapa yang nak masakkan untuk aku?”
Sumpah rasa nak ketuk kepala Azara dengan sudu! Boleh pula dia masak bubur nasi siap-siap sebab takut jatuh sakit. Memang sewel betul kawan baik dia ni!
“Dah tu aku kena makanlah makanan orang sakit tak jadi ni?”
“Mestilah. Kau ingat aku masak ni suka-suka aje ke? Aku masak ni sebab aku nak makanlah.. Manalah aku tahu yang aku tak jadi jatuh sakit.”
Hanis menggelengkan kepalanya sambil tergelak kecil. Macam budak-budak Azara ni! “Kau kenapa sampai nak jatuh sakit bagai ni? Siapa yang sakitkan hati kau kali ni?”
Soalan lain sikit. Tadi tanya apa Izreen buat pada dia, kali ini Hanis menggunakan soalan psikologi untuk mengorek rahsia.
“Zara, dengan aku pun kau nak berahsia ke?”
Soalan Hanis menusuk sehingga ke dasar hati. Ni yang buat dia rasa nak menangis sangat-sangat bila ada yang ambil berat pasal dia. “Aku takde apa-apa. Aku okay. Jangan risau pasal aku.”
Hanis meletakkan semula sudu di dalam mangkuk kaca. “Zara, look at me. Kita dah kawan lama.. Sejak sekolah lagi. Kau tak nak kongsi masalah kau dengan aku?”
Argh, Hanis ni memang sengaja nak buat dia rasa sedih balik. Tadi bila dia nampak muka Hanis dengan Khairul terpacak depan pintu dia dah rasa seronok gila dah, sekarang ni Hanis nak buat dia sedih semula.
“Aku malas nak ingat lagi.. Aku sedih.”
“Aku ada untuk kau menangis. Bahu aku ada untuk kau.” Anak mata Hanis menikam tepat ke dalam anak mata Azara.
Perlahan-lahan air mata mula memenuhi kelopak mata. Mangkuk berisi bubur nasi ditolak ke tengah meja. Dah tak lalu nak makan lagi dah. Hilang selera.
“Zara, talk to me.”
Air hidung dikesat perlahan. Sedihnya! Nak aje dia meraung sekuat hatinya sekarang ini. “Aku sedih sangat, Anis.. Aku sedih sangat.”
Hanis menolak kerusi dan berdiri di sebelah Azara. Menarik wanita jelita itu ke dalam pelukannya. “Aku ada untuk kau, Zara. Sentiasa ada untuk kau..”
“Kenapa dia buat aku macam ni? Kenapa dia tak pernah cakap dengan aku hal yang sebenarnya? Kenapa?” Suara Azara tenggelam  timbul dengan esak tangisnya.
“Siapa?”
“Aku tak sangka yang dorang pernah bertunang. Aku ingatkan selama ini aku takkan ambil apa-apa yang berkaitan dengan kakak aku lagi.. Tak sangka dia bekas tunang kakak aku.” Tangisan Azara kian kuat apabila teringatkan Razlan yang pernah bertunang dengan kakak dia. Pasti lelaki itu pernah mencintai kakak dia dengan sepenuh hati.
Pasti lelaki itu manjakan kakak dia seperti yang pernah dia lakukan kepada Azara.
Ah, peristiwa di Singapura hujung minggu yang lalu kembali menerjah ke ingatannya. Razlan menjaga dia dengan sebaik mungkin. Cuba melindungi dia.. bimbangkan dia. Mungkin seperti itu juga Razlan pernah melindungi Izreen. Pernah mengelus lembut tangan Izreen seperti yang Razlan lakukan kepada dia.
Macam mana dia nak buang semua kenangan dia dengan Razlan kalau dia sendiri mula mencintai lelaki itu dengan sepenuh hatinya? Macam mana dia nak tarik balik kata-kata dia malam semalam semasa mereka menonton bola sepak bersama-sama untuk kali pertama.
Malunya!
Dia sendiri sudah membuat pengakuan bahawa dia juga mencintai lelaki itu dan memberi peluang untuk mereka saling mengenali antara satu sama lain.
“Zara..”
Azara menarik nafas dalam-dalam apabila terasa ada orang mengelus lembut rambutnya.
“Kenapa ni? Apa yang Izreen dah buat? Siapa bekas tunang Izreen? Apa yang dorang dah buat apa kau?”
Sekali lagi tangan naik mengesat air hidung yang meleleh. “Kau tahu kan yang kakak aku takkan biarkan aku bahagia. Kakak aku akan rampas apa yang aku ada..”
Pelukan di kepala Azara kian erat. “Zara, Izreen tu hanya manusia biasa. Kita doakan dia dibukakan pintu hati untuk terima kau sebagai adik dia.”
Azara menggeleng rakus. “Dia sepatutnya terima aku sebagai adik dia sebab aku memang adik dia. Apa yang dia dengki dengan aku, Nis? Selama ini apa yang aku ambil daripada dia? Aku sentiasa mengalah dalam semua hal. Dia nak Zakri, aku bagi.. Dia nak aku pindah rumah, aku pindah.. Dia nak aku ke mana lagi? Nak aku buat apa lagi untuk puaskan hati dia? Dia nak tengok aku mati baru dia puas hati?”
Suara Azara mula kuat. Melepaskan rasa tidak puas hati yang kian mendidih minta diluahkan. “Zara, mengucap Zara.. Ingat Allah. Kita ada Allah. Kau mengadulah pada Allah. Biarlah apa yang Izreen nak buat pada kau, asalkan kau terus kuat!”
Melihat Azara yang menangis bagai nak gila, Izreen turut bersedih. Kali terakhir dia melihat Azara menangis seperti ini ialah apabila mengetahui Izreen menjalinkan hubungan cinta dengan Zakri.. dan sekarang pasal bekas tunang Izreen pula. Siapa pula bekas tunang Izreen?
“Aku tak kuat.. Aku tak kuat.”
Shhhuuu.. Kau kuat. Aku kenal kau. Kau wanita yang tabah dan kuat semangat walau apapun yang berlaku.”
“Aku cintakan dia, Anis.. Kenapa dia tak pernah berterus-terang dengan aku? Selama ini takkan dia tak tahu yang aku ni adik Izreen?”
Hanis tunduk menarik wajah Azara supaya mendongak memandang dia. “Kau cintakan siapa? Siapa yang kau maksudkan sekarang ni?”
Sumpah dia blank dengan ‘dia’ yang Azara maksudkan. Siapa ‘dia’? Zakri? Takkan Zakri tak tahu hubungan Azara dengan Izreen sebab Zakri ialah senior Azara dan dia..
“Dia…”
Belum sempat Azara menyebut nama ‘dia’, telefon bimbit Hanis berdering kuat. “Sekejap, aku takut Khai telefon aku.”
Pelukan di bahu dan kepala Azara dilepaskan. Kaki melangkah mendapatkan beg tangan yang berada di sofa.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam. Hanis, you ada di mana?”

“Ada di rumah Zara. Kenapa?”
Razlan menghembuskan nafas lega. Sepanjang malam dia dah macam orang hilang anak dah. Cari Azara sana sini tak jumpa-jumpa rupanya Azara balik ke rumah sendiri. Sangkanya Azara masih trauma sampai tak mahu balik lagi dah ke rumah sendiri.
“Zara okay ke tak? I ada called dia banyak kali tapi handphone dia macam off. Habis bateri agaknya.” Razlan meneka sendiri.
“Ha’ah.. Phone Zara habis bateri. Awak jangan risaulah, Zara okay aje ni.” Bohong sunat. Padahal bukan dia tidak tahu Azara sengaja menutup telefon kerana tidak mahu diganggu.
“Malam ni you tidur sana ke?”
“Ya, saya tidur sini. Temankan Zara malam ni. Esok Zara balik rumah Puan Melati. Awak jangan risau ya?”
Bibir yang baru sahaja mahu mengeluh lekas-lekas ditukar kepada berdehem kecil. Tak baik pula kalau mengeluh sebab Azara mungkin perlukan masa untuk bersendirian.
“Kalau macam tu tak apalah.. I bimbangkan Zara aje sejak tadi lagi takde khabar berita.. I nak ke rumah parents dia segan pula..”
Hanis mengukir senyuman halus. Bimbang sampai nak ke rumah mak ayah Azara, so sweet! Memang calon suami terbaiklah Razlan ni.
“Hanis, tolong kirim salam I pada Azara ya. I harap you boleh tengok-tengokkan dia malam ni. Maaflah sebab terpaksa menyusahkan you pula. Kalau perlukan apa-apa just inform me, I akan ke sana..”
“Takde menyusahkan apa pun.. Raz, awak jangan bimbang.. Saya akan jaga Zara malam ni. Zara pun kawan saya jugak.”
Thanks!” Razlan menamatkan panggilan telefon. Hanis menoleh ke belakang untuk kembali ke meja makan.
“Oh mak kau hantu raya!” Tangan naik mengurut dada yang terasa mahu pecah. “Zara, kau nak buat aku bersalin awal ke?”
Azara tergelak kecil melihat Hanis yang terkejut gila melihat dia berdiri di belakang wanita itu. “Aku takde niat pun nak terkejutkan kau.. Manalah aku tahu kau nak terkejut tadi.”
“Banyaklah kau tak terkejut. Nasib baik ada kepala, kalau takde kepala tadi mau demam seminggu tau tak!” Nada suara Hanis masih tegang. Geram!
“Razlan nak apa?”
“Nak kau..”
Azara menghenyak punggung di atas sofa. “Jangan nak main-main boleh tak? Dia cari kau nak apa malam-malam ni?”
“Tanya kau ada dekat mana sebab dia bimbangkan kau.. Dia nak pergi cari kau di rumah mak kau tadi tau tak.. Mesti dia telefon kau banyak kali tapi tak dapat. Itulah gedik sangat nak tutup telefon tu.”
“Iyelah tu. Bimbangkan aku ke bimbangkan orang lain?”
Hanis mencampak sebiji bantal segi empat bersaiz kecil ke arah Azara. “Dia memang bimbangkan kau pun, nak bimbangkan orang lain siapa lagi? Aku mak buyung ni?”Hanis tergelak kecil dengan kata-kata sendiri. Mak buyung. Macam kelakar pula nama itu.
“Manalah tahu dia saja je nak ambil tahu pasal aku… padahal bukannya bimbang sangat pun. Entah-entah umi yang sibuk tanya pasal aku sebab dia terpaksa cari aku jugak.”
Hanis menggaru lehernya yang tiba-tiba gatal. “Kau ni Zara kepala otak kau ni dah kena jangkitan kuman ke apa? Razlan tu memang sayangkan kau.. Kau jugak yang cakap dia luahkan perasaan pada kau masa di Singapore hari tu kan? Kau nak tunggu dia melutut di kaki kau ke baru kau nak terima dia?”
“Boleh juga kalau dia sudi. Belum ada lagi lelaki yang melutut di kaki aku selama ni.” Azara sengih.
“Ha.. Masa tu kau jangan pengsan sudah lah..”
Azara buat muka terkejut. “Nak pengsan kenapa pulak dah?”
“Sebab dia hulur cincin lamar kau.”
“Hahahaha! Lawak bodoh.” Razlan nak lamar dia? Tak mungkin.. dan dia juga tidak mungkin mahu menerima lelaki itu buat masa sekarang ini. dia perlukan masa untuk menilai semula kejujuran Razlan.
Dia mahu tahu kenapa Razlan rapat dengan dia. Sebab Izreen atau lelaki itu memang tidak tahu dia adalah adik Izreen.

p/s : Salam Jumaat semua. :) Ramai yang tak sukakan Izreen ye? Biasalah, novel mesti ada watak antagonis. Ada juga yang tanya wujud ke watak Izreen ni dalam real life? Kakak yang dengki kepada adiknya sendiri. Hm, mungkin ada. Mungkin takde. Lagipun ini hanya rekaan semata-mata dan dari imaginasi Sri aje pun. Kalau wujud manusia macam ini memang tak baguslah sebab buat apa nak dengki dengan adik-beradik sendiri kan, sebab at the end bila kita susah, keluarga orang tang tidak akan meninggalkan kita. Orang yang akan sentiasa sokong dan berikan semangat adalah keluarga kita sendiri. :)
Kerja yang banyak dan tak pernah habis buat Sri rasa nak mengadap komputer dan menulis tanpa henti. Bila takde idea bertambah stress. Haha! Tapi kalau ikutkan perasaan sangat yang asyik nak menulis aje ni, memang tak siaplah kerja Sri kan.. Hehehe. 
Sini semorang, buat group hug sikit! Thank you untuk sokongan yang tak putus-putus! Bila korang semua baca lepas tu tinggalkan komen, buat Sri tersenyum sorang-sorang baca komen. Nak reply tapi takde masa lagi. Baca laju-laju je semua komen! ;p  Semua komen-komen tu adalah motivasi untuk Sri menulis dengan lebih laju sepantas Usain Bolt! LOL!
Muuuah. 

Friday 22 November 2013

Bab 24 Cinta Tak Akan Berakhir

Punat berwarna hitam pada remote kereta Volkswagen Golf GTI di tekan. Kereta berkunci sekarang ini. Azara melangkah perlahan ke arah pintu utama. “Assalamualaikum.”
Tidak sampai satu minit Puan Nona muncul di muka pintu utama.

“Anak mak dah balik.” Tubuh langsing Azara dirangkul ke dalam pelukan. “Mari masuk. Abah belum balik lagi. Kakak ada dekat atas. Berkurung dalam bilik sepanjang hari.. Kerja pun tak nak pergi. Mak tak tahulah apa yang tak kena dengan kakak Zara tu..” Bebel Puan Nona. Mungkin mahu melepaskan tekanan dengan sikap Izreen.
Iyelah kakak dia tu memang keras kepala. Kalau nak protes bukan dia kira siapa. Mak ke abah ke.. Kalau nak tempik ikut suka hati dia aje nak menempik. Kadang-kadang hampir hilang sabar juga Azara dengan sikap kakak dia.
“Duduklah. Mak pergi dapur ambil makanan.”
Azara menarik tangan Puan Nona. “Zara bukan tetamu.. Zara datang sini bukan nak makan.” Pelik pula bila Puan Nona layan dia macam orang luar. Siap nak hidang air dan sediakan makanan bagai. Kalau dia nak makan dia boleh pergi ke dapur ambil sendiri. “Zara tak lapar. Nanti Zara nak makan Zara ambil sendiri ya.”
“Zara tidur sini ke malam ni?”
Azara angguk perlahan. Dah lama dia tak balik tidur dengan Puan Nona. Dia juga sudah jarang berbual secara bersemuka dengan Puan Nona. Nanti bolehlah dia bercakap tentang Razlan kepada Puan Nona.
“Baguslah kalau Zara tidur sini! Mak ada banyak perkara nak sembang dengan Zara.” Panjang senyuman Puan Nona.
Azara melabuhkan punggungnya di atas sofa klasik yang tampak gah dan mewah berwarna kuning keemasan di ruang tamu. “Abah memang selalu balik lambat ke?”
“Takdelah Zara. Hari ni aje.. Ada lah tu abah singgah ke mana-mana..”
Kepala diangguk faham. “Mak.. Kenapa abah nak jumpa Zara?” Nah, terkeluar pun soalan yang bukan main lama berlegar-legar di minda dia. Memang sejak nampak muka Puan Nona hati dia sudah tertanya-tanya kepada tiba-tiba sahaja Encik Idris mahu berjumpa dengan dia. Ada hal apa?
Kalau pasal hal semalam, dia tidak ada yang mahu dibincangkan. Razlan pun takde cakap apa-apa pasal hubungan dia dengan Izreen, kalau abah tanya soalan yang dia tidak tahu apa dia nak jawab.
“Mak tahu tak?”
Puan Nona sedikit tersentak dengan panggilan Azara. “Entahlah Zara, mak pun tak tahu. Pagi tadi Izreen mengamuk apa entah dengan abah lepas tu abah suruh mak panggil Zara balik hari ni jugak. Mak memang tak tahu sebab apa..”
Azara menganggukkan kepalanya lemah. Mungkin betul Puan Nona tidak tahu. Iyelah emak asyik sibuk di dapur sepanjang masa memang langsung tidak ambil tahu hal Izreen. Bukan tak mahu ambil tahu tapi malas nak ambil tahu.
“Kakak tak sihat ke?” Mata memandang ke arah tangga. Takut kalau Izreen muncul. Nanti Izreen ingat dia suka pula kalau Izreen tidak sihat.
“Sihat aje mak tengok masa dia turun makan tengah hari tadi. Siap boleh menempik mak lagi.. Apa yang tak sihatnya?” Balas Puan Nona geram. Sait hati betul dengan anak sulung dia. Suara asyik nak meninggi aje.
“Kakak marahkan mak?”

Puan Nona angguk. “Mak suruh dia tolong mak masak.. Belajar memasak sebab dah nak kahwin tapi marahkan mak. Cakap mak jangan ambil tahu pasal dia, tahulah dia nak bela suami dia.”
Nafas dihempus perlahan. Dia pun tak pernah menempik Puan Nona. Mak bukannya jenis cakap kasar-kasar, Izreen tu memang melampau. “Mak sabar ya? Kalau Zara boleh ambil mak dari rumah ni, memang Zara nak sangat jaga mak. Nak mak tinggal dengan Zara tapi Zara tak boleh mak..”
Puan Nona mengusap lembut tangan Azara. Dia tahu anak bongsunya memang lembut hati. Sangat menyayangi dia. “Zara, mak faham. Mak pun tak sempat nak jenguk Zara di rumah Zara. Langsung mak tak pernah ke sana.. Mak minta maaf sebab mak seolah-olah mengabaikan Zara.”
Air mata yang bertakung di kelopak mata dikesat perlahan. “Zara ada hal sikit nak cakap dengan mak.”
“Apa dia?”
“Sebenarnya Zara..” Ayat Azara terhenti seketika. Takut pula mahu memberitahu bahawa dia sudah tidak tinggal di rumahnya lagi. Aduh, entah apa yang Puan Nona fikirkan kalau Puan Nona tahu dia tinggal dengan Puan Melati. Selama ini Puan Nona hanya fikir dia sering ke rumah Puan Melati kerana Puan Melati ialah umi Razlan.
“Zara apa sayang?”
“Kalau Zara cakap dengan mak, mak janji mak takkan marah Zara ya?”
Hati Puan Melati mula berdebar. Apa yang anak dara dia nak sampaikan ni? “Zara jangan buat mak macam ni.. Takut pula mak nak dengar apa yang Zara nak sampaikan pada mak. Mak tak suka kalau Zara buat perkara yang tak senonoh. Dah banyak kali mak pesan dengan Zara jaga diri, jaga maruah keluarga.. Jangan malukan keluarga kita.”
“Mak. Zara tak buat semua tu. Zara..”
Belum sempat ayat Azara habis, Izreen sudah muncul dengan wajah yang menyinga. “Zara apa? Zara rampas bekas tunang kakak dia sendiri? Muka tak tahu malu!”
Tubuh Azara berdiri tegak. Bekas tunang? Siapa yang Izreen maksudkan? Bekas tunang mana? Bila pula dia berkawan dengan lelaki lain?
“Siapa yang kakak maksudkan ni? Bila masa pula Zara kawan dengan bekas tunang kakak?” Suara marah Azara masih cuba dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu bergaduh depan Puan Nona. Kesian mak selama ini asyik jadi orang tengah meleraikan pergaduhan mereka berdua sejak kecil lagi.
“Mak, cuba mak tengok anak kesayangan mak ni! Dah buat salah tak tahu mengaku lagi. Dasar muka tak tahu malu!”
“Izreen! Sudah. Sudah. Apa yang Reen cakap ni? Cuba cakap elok-elok biar adik faham. Mak pun tak faham apa yang Reen cakap sekarang ni. Apa yang Zara dah buat?” Puan Nona mendapatkan Izreen yang mahu menyerang Azara.
Izreen kalau bergaduh suka sangat pukul Azara. Suka sangat tarik rambut panjang Azara. Memang tak puas kalau bertekak mulut aje. Tangan tu nak juga capai apa yang boleh capai di tubuh Azara.
Kaki Azara melangkah ke belakang beberapa tapak. Takut dengan sikap kasar Izreen yang mahu memukul dia. “Apa yang kakak tak puas hati dengan Zara?”
“Banyak! Banyak yang aku tak puas hati dengan kau Zara. Kenapa kau suka rampas barang aku?”
Mata bulat Azara memandang Izreen tanpa kedip. Barang apa? Bila masa dia ambil apa-apa yang menjadi hak Izreen? Bukan selama ini Izreen yang selalu mengambil hak dia?
“Zara, jangan lawan cakap kakak. Zara kesiankan mak kan?” Ah, Puan Nona selalu meminta dia mengalah. Dia selalu tertindas. Kenapa mak nak lebihkan kakak kali ini? kenapa nak biarkan kakak tuduh dia yang bukan-bukan?
“Mak, Zara nak tahu apa yang kakak tak puas hati dengan Zara? Apa yang Zara ambil daripada dia?”
Nafas Izreen turun naik. Bengang dengan sikap Azara yang masih buat-buat bodoh. Sakitnya hati dia tengok Azara dengan Razlan bergelak tawa pagi tadi. Ikutkan hati memang dia nak serang Azara tapi dulu sewaktu dia bercinta dengan Razlan dia sering memburukkan Azara. Jadi dia mesti menunjukkan keburukan Azara dalam melayani dia bukan dia yang melayani Azara dengan buruk.
“Aku memang tak puas hati dengan kau sejak dulu lagi! Kalau ikutkan hati aku memang aku nak bunuh kau Zara!”
“Izreen!”
Pang! Satu tamparan kuat hinggap di pipi Izreen. Puan Nona melangkah setapak ke belakang. Kali pertama dia menampar pipi anak sulungnya. Selama dua puluh lapan tahun dia bersabar dengan semua sikap buruk Izreen, hari ini dia hilang sabar.
“Mak tampar Reen sebab anak kesayangan mak ni?” Mata Izreen mukla berkaca-kaca. Tak sangka Puan Nona sanggup menampar dia.
“Apa yang bising-bising ni? Sampai luar dengar kecoh-kecoh..”
Tiga pasang mata yang terkaku sebentar tadi terarah kepada Encik Idris.
“Abah..” Izreen berlari mendapatkan Encik Idris. Kepalanya disembamkan di dada Encik Idris. “Mak tampar Reen.. Sampai hati mak pukul Reen. Mak tak sayangkan Reen.”
Encik Idris menggosok belakang anak sulungnya. “Abah ada. Kalau semua orang tak sayangkan Reen abah ada. Abah sayangkan Reen lebih dari nyawa abah sendiri.”
Azara genggam tangannya kuat. Mencari kekuatan untuk berdepan dengan Encik Idris. Puan Nona dah sentuh anak kesayangan Encik Idris, pasti Azara yang teruk diherdik sebentar lagi.
“Nona, awak masuk dalam. Saya nak sembang dengan anak-anak aje.”
Mata Puan Nona mencerlung memandang wajah suaminya. dia diketepikan? Sampai hati duami dia. Ini kan anak-anak dia juga kenapa pula dia mesti diketepikan? Kalau soal Izreen selalu diutamakan oleh suaminya, kalau Azara langsung tidak mahu ambil tahu!
“Izreen dan Azara anak-anak saya bang.. Saya nak duduk sini dengar apa masalah mereka sekarang ni. Saya ni mak, saya patut ambil tahu.”
Suasana menjadi tegang bila Encik Idris turut masuk campur dalam hal Azara dan Izreen. Sekarang Puan Nona dan Encik Idris pula yang tergegang urat. Teruk betul kakak dia ni!

“Mak, Zara okay. Mak masuk bilik rehat ya?” Pujuk Azara lembut. Dia tahu darah Puan Nona boleh naik bila-bila masa sahaja. Dia tidak mahu mak jatuh sakit sebab dia.
“Tak! Tak Zara. Mak nak duduk sini dengar semua masalah. Mak tak mahu dengar sebelah pihak aje.” Puan Nona menghenyak punggungnya di atas sofa. apa nak jadi, jadilah. Dia nak tunggu di sini. Tak kira!
“Baik. Kalau awak nak dengar, ikut suka hati awak. Saya pun nak awak tahu juga sikap anak kesayangan awak ni.”
Mata Azara menyorot memandang tepat ke wajah Encik Idris. Apa sikap dia? Apa yang dia buat yang tidak kena pada mata abahnya? “Apa yang Zara dah buat?”
Encik Idris tergelak kecil sambil menolak perlahan tubuh Izreen yang masih memeluknya sambil menangis kecil. “Apa Zara dah buat? Kau tahu tak Zara yang kau tu dah memalukan aku! Aku tak tahu lagi mana nak letak muka aku ni.”
Bibir bawah digigit kuat. Tuduhan apa lagi yang Izreen lemparkan kali ini!
“Kau tahu tak siapa yang kau tengah berkawan sekarang ni? Kau ni memang tak tahu malu ke Zara?”
Izreen menyampuk dalam perbualan Azara dan Encik Idris. Puan Nona pula hanya mendiamkan diri menjadi pendengar. “Memang tak tahu malu pun abah. Semalam Reen nampak dia berpeluk sakan dengan Raz. Siap bercium tepi kereta lagi. Takde maruah diri langsung! Dia ingat sini Amerika kot!”
Dia berpeluk dan bercium dengan Razlan? Wei, bila masa pula dia buat semua tu? Izreen suka hati aje fitnah dia!
“Kakak cakap apa ni?bila masa Zara buat tu? Kakak jangan nak fitnah Zara pulak.” Bentak Azara tidak puas hati.
Encik Idris mendengus kuat. Sakit hati mendengar kata-kata Izreen. “Kau tahu tak Razlan tu bekas tunang kakak kau? Kau ni tak malu ke buat perkara tak senonoh dengan bekas tunang kakak sendiri?”
Bekas tunang? Razlan ialah bekas tunang Izreen? Selama ini wanita yang Haleda ceritakan kepada dia ialah Izreen? Azara rasa jantungnya bagai direntap dari jasad.
Buat seketika kepala otak Azara melayang-layang. Tidak mampu berfikir untuk beberapa saat. Bodohnya dia! Kenapa dia langsung tidak tahu bahawa Razlan dan Izreen pernah bertunang!
Bibir Azara bergerak seperti mahu berkata sesuatu untuk membela diri namun terdiam apabila mendengar suara Puan Nona.
“Betul ke Zara bercinta dengan Razlan?”
“Mak.. Zara tak ..”
“Zara apa? Kau apa Zara? Kau memang sengaja goda dia kan? Mak, dia memang sengaja minta kerja di syarikat papa Raz sebab dia nak goda Raz. Dia tahu Reen masih sayangkan Raz, dia nak rampas Raz daripada Reen!”
“Tak mak. Tak.. Sumpah Zara tak tahu.”
Izreen menerpa ke arah Azara dan menampar kuat pipi mulus Azara. “Kau memang perempuan tak tahu malu!”
Azara terdiam kaku di sofa mewah milik Puan Nona.
“Kenapa diam? Zara dah tak tahu nak cakap apa? Mak malu dengan Zara! Mak tak sangka Zara sanggup buat kakak Zara macam ni.”
Air mata mula merembes laju menuruni ke pipi Azara. Dia kehilangan kata-kata. Patutlah Puan Sofiah kata muka dia seiras seseorang yang dia pernah kenali, rupanya muka dia seiras Puan Nona. Mungkin Puan Sofiah pernah bertemu dengan Puan Nona beberapa kali selepas pertunangan Razlan dan Izreen.
Bodohnya kau Azara!
“Zara tak tahu dia bekas tunang kakak.” Lancar pertuturan Azara.
“Kau memang memalukan aku Zara. Kalau aku tahu kau kerja dengan Encik Latif Rashdan, memang aku takkan benarkan kau kerja di sana.”
‘Kalau tahu? Abah memang takkan tahu sebab abah tak pernah ambil tahu!’ Mahu sahaja dia jeritkan bisikan kata hatinya kepada Encik Idris. Tiada siapa tahu dia bekerja di sana sebab semua orang tidak mahu ambil tahu.
Tidak ada sesiapa yang bertanya melainkan Puan Nona yang bertanya apa nama bos tempat dia bekerja. Dia pula hanya memberitahu Puan Nona nama bos dia adalah Encik Latif sahaja. Nak harapkan mak beritahu kepada dia memang tak mungkin sebab mak sendiri pun tidak tahu di mana bekas tunang Izreen bekerja dan bekerja sebagai apa di syarikat itu.
Bukan dia tidak pernah bertanya kepada Puan Nona tentang bekas tunang Izreen tapi semuanya Puan Nona tidak tahu. Iyelah Puan Nona lebih banyak menghabiskan masa di rumah memanglah dia tidak ambil tahu apa yang berlaku dia dunia luar.
“Aku nak kau berhenti kerja.”
Sampai macam tu sekali abah nak hukum dia? Razlan dengan Izreen bukan ada apa-apa hubungan lagi, jadi kenapa dia perlu berhenti kerja?
“Tak. Zara takkan berhenti kerja. Kakak dengan dia dah takde apa-apa hubungan lagi, apa salahnya kalau Zara nak kawan dengan Razlan? Bukannya berdosa pun.” Berani Azara bersuara di hadapan Puan Nona, Encik Idris dan Izreen.
Muka Izreen terlopong melihat sikap berani Azara. Amboi, dah berani lawan cakap abah!
“Kau nak tunjuk keras kepala kau dekat sini?”
“Tak, Zara bukan nak tunjuk keras kepala dengan abah atau mak.. Zara hanya pertahankan hak Zara. Selama ni Zara ikut semua cakap abah.. Abah tak izinkan Zara bertunang dengan Zack, Zara mengalah.. Zara biarkan kakak bercinta dengan bakal tunang Zara sendiri.. Kali ini kalau Zara nak bercinta dengan bekas tunang kakak pun apa salahnya? Bukannya Zara ambil tunang dia.”
Encik Idris menapak laju ke hadapan anak daranya. “Anak kurang ajar!” Tangan sudah diangkat ke udara mahu melayangkan sebuah penampar di wajah Azara namun segera ditahan oleh Puan Nona.
“Sudahlah bang.. Jangan pukul Zara.”
Tangan kiri Puan Nona sudah mencengkam dadanya. Semput melihat suasana kacau-bilau ketika ini. Rasa lemah lutut dia.
“Semua salah Nona bang.. Nona yang tak tahu ajar anak Nona. Abang jangan marahkan Zara, abang marahlah Nona.” Tangisan Puan Nona mula bergema kuat. Memang dia marah dengan Azara kerana menjalinkan hubungan dengan Razlan tapi apa yang Azara cakapkan tadi betul. Izreen bukan ada apa-apa hubungan lagi dengan Razlan jadi tidak salah jika dia berkawan dengan Razlan. Dia bukan merampas apa-apa yang menjadi hak Izreen.
“Senanglah awak cakap Nona. Muka saya ni nak letak mana? Kalau Sofi dengan Latif tu tahu Razlan berkawan dengan Zara, malu saya ni!” Tempelak Encik Idris.
“Biarlah hal budak-budak bang. Biar dorang selesaikan sendiri.”
Encik Idris melepaskan nafasnya kuat.
“Baik, kalau kau nak sangat dengan Razlan tu aku nak tengok setakat mana hubungan kau dengan dia boleh bertahan!”
“Abah!” Izreen menjerit nyaring. Tidak sangka Encik Idris akan membiarkan hubungan Azara dengan Razlan. Sangkanya Encik Idris akan memaksa Azara memutuskan hubungannya dengan Razlan. Dia tidak suka Azara berhubungan dengan lelaki kacak itu.
Ah, silap dia kerana lambat membuat tindakan. Kalau sejak dulu lagi dia memberitahu Encik Idris bahawa Azara bekerja di syarikat Encik Latif tidaklah dia terdesak seperti ini.
“Reen, biarkan dorang. Reen pun dah takde apa-apa hubungan lagi dengan Raz. Sekarang ni lebih baik Reen tumpukan perhatian pada majlis perkahwinan Reen dengan Zack.” Encik Idris mengusap lembut bahu Izreen yang berpaling daripadanya. Merajuklah tu.
“Reen tak suka Zara kawan dengan bekas tunang Reen.”
“Sudahla, abah dah penat. Abah nak naik bilik. Reen jangan fikir lagi ya?” Kepala Izreen diusap lembut persis memujuk anak kecil yang merajuk.
Azara hanya diam menjadi pemerhati. Abah tidak pernah mengusap kepalanya seperti ini. Langsung tidak pernah. Azara hanya menghantar sesusuk tubuh yang agak gempal itu naik ke atas dengan ekor matanya.
Izreen juga turut menapak kasar mendaki satu per satu anak tangga untuk ke tingkat atas. Azara memerhati Puan Nona yang duduk mengurut dadanya yang mungkin terasa sempit.
“Mak okay tak? Mak nak ke klinik?”
Hanya gelengan yang menjadi jawapan kepada Azara.
“Mak, Zara tahu mak terkejut tapi Zara sumpah depan mak yang Zara memang tak tahu Razlan tu bekas tunang kakak. Zara tak tahu.. Razlan pun mungkin tak tahu yang Zara ni adik bekas tunang dia sendiri, mak.”
“Zara nak mak percaya semua ni? Takkan Zara tak tahu Razlan tu bekas tunang kakak?”
Azara menggeleng lemah. “Sumpah… Zara tak tahu.”  Tangan naik mengesat air hidung yang mahu meleleh. “Zara tahu dia pernah putus tunang tapi Zara tak pernah tanya dengan siapa.. Zara tak pernah kenal dia sebelum ini..”
“Baliklah dulu Zara. Mak perlukan masa untuk terima semua ni. Dah banyak kali mak pesan dengan Zara jaga diri., Jaga maruah keluarga. Sini bukan Amerika yang Zara boleh buat sesuka hati Zara.”
Buat sesuka hati? Mak percaya dengan kata-kata Izreen yang dia berpeluk dan bercium sakan dengan Razlan?
“Takkan mak tak kenal Zara? Mak nampak Zara ni jenis yang besosial ke mak? Mak nampak Zara macam perempuan murahan ke mak?”
Puan Nona menolak tangan Azara yang cuba menarik tangannya memaksa dia supaya memandang wajah anak bongsunya itu. “Kakak cuma cakap apa yang dia nampak.”
Azara angguk. Dia faham.. Puan Nona juga menyalahkan dia. Ingat dia buat perkara tidak senonoh dengan Razlan.
“Kalau mak tak percayakan Zara lagi, Zara tak boleh buat apa-apa lagi.. Zara minta maaf kalau Zara buat salah dan silap pada mak. Halalkan makan minum Zara selama ni..” Tangan Puan Nona ditarik dan dikucup lama. Sumpah dia sangat-sangat menyayangi Puan Nona. Sayang sangat!
“Zara sayangkan mak. Sayang mak dunia dan akhirat.” Bibir Azara mendarat di dahi Puan Nona. “Zara balik dulu. Zara harap mak maafkan semua salah Zara pada mak.”
Beg tangan di atas meja kopi dicapai rakus dan Azara berlari keluar dari rumah banglo milik keluarganya.
Kunci kereta Golf  GTI ditarik keluar dengan rakus dan enjin kereta dihidupkan. Kereta mewah itu terus bergerak membelah malam kelam meninggalkan banglo Encik Idris jauh di belakangnya.