Monday 9 September 2013

Bab 20 Cinta Tak Akan Berakhir

Azara membetulkan duduknya yang serba tidak kena. Pandang luar salah, pandang depan pun salah. Semuanya nampak canggung dan tidak kena. Kalau ikutkan hati memang dia nak keluar aje dari restoran ini tapi memandangkan Razlan ada bersama terpaksalah dia menunggu. Lagipun sekarang ini dia sudah tidak berani ke mana-mana lagi tanpa Razlan atau ditemani oleh Puan Melati.


“Cantik betul pekerja you. Kalau boleh set kan makan malam I dengan dia mungkin lebih baik.” Azara rasa nafasnya sedikit semput mendengar cadangan daripada Datuk Lukman. Adoi, nak makan malam apa bendanya lagi. Sekarang dah makan tengah hari pun dah kenyang gila!
“Minta maaf Datuk, polisi syarikat kami tiada waktu bekerja selepas pukul 6.00 petang kecuali pekerja sendiri yang mahu berbuat demikian. Jadi agak susah sikit kalau Datuk nak makan malam dengan Azara sebab Azara tak suka bekerja waktu malam.”
Memanglah lega dengan jawapan daripada Razlan tapi kalau Datuk Lukman sendiri yang berkeras takut Razlan mengalah pula. Dia memang tak mahu temankan Datuk Lukman makan malam. Gatal macam apa lagi! Tangan tu macam kena ulat beluncas.
Eh, bukan Razlan kata waktu bekerja selepas pukul 6.00 sekiranya pekerja sendiri yang mahu berbuat demikian ke? Amboi, Razlan memang mengambil kesempatan ketika dia mula-mula bekerja dulu. Tak pernah tanya pendapat dia pun nak kerja lebih mada atau tak. Main arah aje.
“Macam mana Zara, you sudi tak makan malam dengan I malam ni?”
Nah! Direct soalan dari Datuk Lukman.
“Saya minta maaf Datuk, malam ni saya dah ada janji dengan tunang saya nak makan malam bersama.” Bibir mengukir senyuman paling manis.
Razlan menjeling ke arah Azara. Tunang? Amboi, sekali petik tunang terus!
Atau Azara memang betul-betul ada tunang? Razlan telan air liur. Dia tak pernah tanya langsung pasal Azara. Memang dia tidak tahu sama ada gadis cantik di sisinya ini sudah berpunya atau masih lagi sendirian.
“Oh, tak sangka pula you dah bertunang sebab I tengok jari you masih kosong.”
Azara mengalih pandangan mata ke jarinya. Memang masih kosong. “Saya tanggalkan cincin masa mandi semalam. Terlupa nak sarung semula.”
Datuk Lukman mengangguk faham. Dia memang gatal tapi lebih seronok kalau menggatal dengan si jelita yang masih bujang. Tak sanggup kalau muka kacak dia kena pukul dengan lelaki lain nanti.
“Bila nak kahwin?”
Jari naik menyentuh hujung hidung mancungnya. Banyak pula soalan Datuk Lukman ni. Kan keluar ni sebab nak bincang pasal projek, apa pula sembang pasal dia sekarang ini. Langsung tidak ada kaitan. Tak suka!
Sorry lah kalau I nampak macam menyibuk sikit. Bertuah lelaki yang dapat kahwin dengan wanita jelita macam you.” Bibir hitam Datuk Lukman senyum segaris. Hampa juga bila mengetahui bahawa Azara sudah berpunya.
“Apa yang bertuahnya Datuk, saya pun manusia biasa juga, tiada apa yang istimewa pun.”
Hati Razlan mula dicuit dengan perasaan cemburu. Nampak mesra pula Azara dengan Datuk Lukman. Bukan dia tidak kenal dengan Datuk tua ini, gatal dan suka mengusung perempuan ke bilik tidur. Isteri dah tiga tapi masih lagi tidak mampu mengikis sikap gatal dan miang. Sepatutnya di usia seperti ini Datuk Lukman sudah mendekatkan diri dengan yang Maha Esa. Ini tidak, rumah kata pergi kubur kata mari pun masih lagi terkinja-kinja di dunia yang fana ini.
So Datuk, macam mana dengan projek kita ni? Jadi atau Datuk masih nak fikir lagi?”
“Apa pendapat you Zara? You rasa I patut teruskan dengan projek ini atau tak?”
Azara kerling wajah Razlan. Adoi, pasti lelaki ini bengang dengan dia. Datuk Lukman ni pun satu, kenapa tanya pendapat dia pula. Bukankah lelaki itu sudah pun berkali-kali berurusan dengan syarikat Encik Latif, takkanlah masih lagi meragui cara Razlan bekerja?
“Datuk tak suka dengan cara Tuan Razlan kendalikan projek ke?”
Mata Razlan mencerlung memandang wajah Azara. Amboi, mulut! Nak kena cili ke Azara ni? Berani Azara nak mempertikaikan cara dia bekerja?
“Tak, bukan itu maksud I.. Apa pendapat you tentang projek ini?”
Mulut Azara berubah menjadi bentuk O. Pasal projek ingatkan pasal cara kerja Razlan. “Kalau pasal projek ni saya setuju sangatlah kalau Datuk melibatkan diri. Bukan apa, projek ni memang sesuai sangat dengan Datuk sebab apa yang saya nampak Datuk ni memang seorang yang penyayang dan sukakan kanak-kanak. Mungkin sebab Datuk belum ada cucu.”
Razlan rasa tawanya mahu terhambur keluar. Berani Azara cakap pasal cucu? Memang dia masih belum kenal dengan Datuk Lukman ni. Hidup pun nak seronok aje, apa pula nak ada cucu.
You cakap I tua ke Zara?”
Azara segera menggeleng. “Tak, bukan macam tu Datuk.. Bila saya tengok muka Datuk saya memang nampak ada satu sisi penyayang yang ada dalam diri Datuk. Jadi saya yakin anak-anak yatim mesti sukakan Datuk.”
Azara berhenti seketika. Nafas ditarik perlahan. Dia yakin Datuk Lukman masih mempunyai secebis hati yang bersih dan baik. “Hidup kita tak panjang Datuk, belum tentu yang tua akan mati dahulu sebelum yang muda. Datuk ada banyak harta dan peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah swt. Mungkin dengan projek ini Datuk akan lebih dekat dengan Allah, siapa tahu.. kan?”
You pandai berkata-kata, Azara. Bagus betul you ada pekerja macam ni Raz.”
Azara menggeleng. “Saya bukan sesiapa untuk memberikan nasihat tapi ini hanya pandangan kerdil saya sahaja. Sedekah adalah amal jariah yang takkan pernah putus di akhirat kelak. Saya yakin yang Datuk sendiri sudah banyak memberikan sumbangan amal kepada pelbagai majlis.”
Datuk Lukman mengangguk beberapa kali. Kata-kata lembut Azara menikam sehingga ke dasar hati. Selama ini dia membuat amal kebajikan kerana duitnya yang terlalu banyak bukan kerana Allah swt.
So, Encik Razlan.. I setuju dengan projek kita kali ini. semoga usaha sama kita akan berjaya. Ini projek amal julung kali yang terbesar pernah I libatkan diri.”
Razlan senyum mekar. Bravo Azara!

Thanks Datuk. Semoga usaha sama kita akan berterusan.” Razalan berjabat tangan dengan Datuk Lukman. Bibir tidak lekang mengukir senyuman. Bangga dengan Azara!


“Tak sangka you ni pandai pujuk orang ya.” Porsche Cayman berwarna hitam gah mencelah di celah-celah kenderaan yang banyak. Mesti orang dah nak masuk kerja semula sebab tu banyak kereta di atas jalan raya.
“Mungkin Datuk Lukman sendiri memang berminat dengan projek ini. Saya hanya bagi pandangan aje pun.” Kepala ditoleh sedikit memandang ke arah Razlan yang sedang tekun memandu.
“Mungkin you memang pandai manipulasi orang kot?”
Bibir tergelak kecil. Dia pandai manipulasi orang? Alahai, siapa yang dia boleh manipulasi. Kawan pun tak ramai. “Mana ada. Tuan ni merepek aje.”
“Siapa tunang you?”
Spontan bibir Azara ketawa kuat. “Saya main-main aje tadi.. Tak sangka Datuk Lukman percaya. Nasib baik dia percaya, kalau tak saya kena teman dia dinner malam ni. Tak naklah saya!”
“I takkan izinkan you keluar dengan dia pun..”
Mendengar jawapan Razlan, Azara berasa lega. Sekurang-kurangnya Razlan tidak membiarkan dia keluar dengan sembarangan lelaki. Baguslah kalau macam tu.
I nak keluar kejap lagi. Nanti I drop you di bawah aje, boleh?” Razlan toleh sedikit ke arah Azara yang masih ralit memandang wajahnya.
Sure.”
“Janganlah pandang muka I tak nak lepas.. Tahulah I ni kacak pun.”
Azara mencebik. Menyampah! Suka perasan bos dia ni.
Telefon bimbit Azara yang berteriak memaksa Azara mengeluarkan telefon dari beg tangannya. ‘Izreen!’ Apa yang kakak dia nak sekarang ni? Tak pernah-pernah kakak dia menelefon dia ketika ini sebelum ini.
Iphone 5 digenggam kemas di dalam tangan. Sumpah malas nak menjawab panggilan telefon kakak dia. Nak cakap apa? Bergaduh depan Razlan? Buat malu aje kalau Razlan dengar dia bertekak dengan kakak dia sekarang ini.
“Kenapa tak jawab call tu?”
Wajah Razlan di cari dengan anak matanya. “Takde apa-apa yang penting pun, malas nak jawab.”
Family?”
Azara menggeleng.
“Bekas kekasih?”
Sekali lagi anak mata Azara melekap di wajah Razlan. “Bukan. Orang lain.”
Melihat Azara yang tidak berminat untuk berbual tentang panggilan misteri itu, Razlan mendiamkan diri. Lantaklah. Tak mahu cakap sudah. Bukan dia rugi apa-apa pun.
Panggilan telefon daripada Izreen sekali lagi berbunyi. Azara mula rimas. Sampai dua kali telefon dia, ada apa hal yang penting sangat ni? Kalau setakat nak menjerit dalam telefon malas dia nak layan.
Tet! Tet!
Ha, hantar mesej pula.
‘Kau ni pekak ke aku call tak tahu nak jawab? Bodoh!’
Ya Allah, sabar ajelah dengan sikap Izreen ni. Main ikut sedap mulut dia aje nak mengata! Suka hati dia je nak panggil Azara bodoh. Izreen tu pandai sangat ke? Ergh!
Telefon bimbit sekali lagi berbunyi. Bingit!
Jari runcing Azara menekan butang ‘padam’ pada telefon bimbitnya. Puas hati!
“Marah betul you dengan caller tu eh?”
“Kenapa Tuan cakap macam tu?” Soal Azara tanpa memandang wajah Razlan. Macamlah Razlan tahu siapa pemanggil tadi. Menyibuk aje!
“Berkali-kali I tengok dia call you tapi langsung you tak jawab pun.”
“Malas nak jawab sebab takde apa yang penting. Pemanggil tu pun bukannya penting pun.” Azara menyelak rambut yang jatuh ke dahi ke belakang telinga.
“Kalau tak penting takkan dia call you banyak kali?”
“Saya dah cakap takde apa yang penting pun. Sejak bila pula Tuan sibuk sangat pasal hal saya ni?” Suara Azara mula meninggi sedikit. Dah la dia rimas dengan Izreen, sekarang ni Razlan pula macam sengaja nak cari pasal dengan dia.
Memang sengaja nak cari nahaslah nampak gayanya! Memang dia tak boleh nak bertolak-ansur lagi kalau pasal Izreen. Rasanya dia dah banyak kali kena sound dengan Encik Idris kes Izreen dengan Zakri. Ei, lama-lama jadi meluat pula dengan Zakri ni!
I memang suka sibuk pasal you sebab I nak sibuk pasal you.”
“Tak perlu sibuk pasal saya.” Tajam jelingan Azara kepada Razlan.
Sudahnya Razlan mendiamkan diri. Garang betul Azara hari ini. Adalah tu yang tak kena di mana-mana. Period agaknya.
Kereta Porsche Cayman berhenti betul-betul di depan pintu masuk utama. Janganlah dia terserempak dengan sesiapa sehingga dia sampai ke tingkat tiga belas. Memang tak sangguplagi dah telinga dia nak menadah dengan pelbagai gosip liar di syarikat. Cakaplah apa pun macamlah dorang tu semua nak percaya.
“Petang nanti I jemput you dekat bawah.” Azara mengangguk dan terus melangkah keluar dari perut kereta mewah itu.


“Azara.” Bibir mengukir senyuman kepada lelaki yang menghulur tangan kepadanya. Firdaus jongket bahu apabila Azara tidak menyambut huluran tangannya.
“Firdaus, kawan baik Razlan. Maksud I sangat baik.”

Sekali lagi bibir Azara mengukir senyuman. “Maksudnya Encik Firdaus tahu semua rahsia Raz?”
Bibir Firdaus melepaskan satu tawa halus. Skema benar Azara ni sampai membahasakan dia sebagai Encik Firdaus. “Abang Firdaus. I am twenty eight. Tua daripada you, kan?”
Azara angguk mengiyakan soalan Firdaus. “Zara dua puluh enam.”
“Kalau macam tu baguslah. You must call me Abang Firdaus.” Firdaus menekankan perkataan must. Jatuh tahap wajib tu.
Razlan mencebik. Gatal! Nak pancing Azara lah tu. “Kau jangan nak gedik sangat eh Daus. Abang Firdaus konon! Blah la..” Bahu Firdaus ditumbuk perlahan oleh Razlan. Geli aje nak bahasakan diri sebagai abang dengan perempuan lain. Ew.
“Jangan layan sangat Razlan ni Zara, dia memang selalu dengki dengan abang. Zara just panggil abang dengan panggilan abang aje. Boleh?”
Azara menjeling sedikit kepada Razlan. Dia tahu lelaki itu tidak suka tapi kalau dia panggil Firdaus dengan panggilan encik macam skema sangat aje, kalau panggil awak macam pelik pula sebab baru kenal.. Abang? Ish tak macam gedik ke?
“Zara fikir apa ni? Tak suka ke kalau ada abang macam Abang Firdaus?”
Razlan mengetap giginya.Amboi, gatal betul Firdaus ni. Dah berkali-kali dia warning dengan Firdaus jangan menggatal dengan Azara, tak sangka kawan baik dia ni nak juga menggatal dengan wanita jelita ini. ish!
“Kau jangan nak lebih-lebih eh Daus. Gatal!”
Firdaus menghamburkan tawanya. Nampak sangat Razlan cemburu. “Jeles ke?”
Rona wajah Razlan mula berubah. “Nonsense.”
Ah, kenapa Azara nak tersentap pula. Memang pun sejak dulu lagi Razlan tak pernah sukakan dia. Razlan dengan dia hanya kawan di luar dan majikan di pejabat. Azara, jangan bermain dengan api. Kau belum kenal siapa Razlan.
“Abang kerja di mana?”
Pandangan mata Firdaus serta-merta terhala ke wajah Azara. Tawa yang galak tadi serta-merta terhenti. Tak percaya dengan panggilan yang terbit dari bibir wanita jelita yang duduk di sisi Razlan. Silih berganti wajah Azara dengan wajah Razlan. Oh kawan, sorry!
“Abang kerja dengan Panasonic. Zara suka kerja dengan Alan ni?”
Azara menggigit bibir bawahnya sedikit. Dia bukan suka sangat nak panggil Firdaus dengan panggilan abang tapi sebab geram dengan Razlan dia panggil ajelah. Sengaja mahu melihat reaksi lelaki itu.
“Suka kerja dengan Encik Latif sebab dia baik. Zara memang pernah kerja dengan Encik Latif sebelum Zara pergi Amerika dulu.” Firdaus mengangguk kecil. Mata di arah sedikit ke arah Razlan. Mencuka bukan main lagi muka Razlan.
“Encik Latif dengan Alan siapa lagi best?”
Amboi, soalan cepu emas daripada Firdaus ni. Sengaja nak kenakan dia depan Razlan ke?
“Zara?” Zara angkat kening dengan panggilan Firdaus.
“Haa, I pun nak tahu jugak yang mana lagi seronok you bekerja? I dengan papa I?”
Gigi putih melepak ditayangkan kepada Razlan dan Firdaus. “Dua-dua best. Zara tak kisah pun dengan siapa Zara bekerja asalkan bos Zara tu layan semua pekerja dengan baik.”
Good answer. Boleh abang tanya pasal diri Zara?”
Fuh.. Selamat tak tanya pasal kerja lagi dah. Tanyalah apa sahaja tentang diri dia asalkan bukan tentang Izreen. Ewah! Macamlah Firdaus tahu yang kakak dia ialah Izreen dan macamlah Firdaus kenal siapa Izreen.
“Boleh. Ask me anything. Kalau Zara boleh jawab Zara jawab.”
Firdaus sengih. “Zara ada berapa adik-beradik?”
“Dua aje. Zara ada kakak.”
“Kakak you kerja dekat mana?” Eh, menyibuk aje Razlan ni nak tahu pasal kakak dia pula.
“Kerja dengan abah saya.”
“Kenapa Zara tak kerja dengan keluarga Zara?”
Pandangan mata Azara menikam wajah Firdaus. Dia tidak sukakan soalan ini. Dia tidak suka jika ada orang luar mahu mengambil tahu tentang hal keluarga dia. Memang dia malas sangat-sangat nak berbual tentang abah dan Izreen. Kalau pasal Puan Nona boleh.
“Saja nak timba pengalaman sendiri. Lagipun Zara memang suka hidup sendiri.”
“Bukan sebab you buang keluarga you?”
Kening Azara berkerut seperti mahu bercantum. Bila masa pula dia buang keluarga dia? Merepek aje Razlan ni. “Saya tak pernah buang keluarga saya. Saya memang suka hidup sendiri sejak dulu lagi.” Azara membela diri.
“Kau ni Alan, tak baik tuduh Zara macam tu. Aku tengok Zara ni baik aje orangnya, kau ni…”  Firdaus kurang senang dengan cara Razlan menuduh Azara yang bukan-bukan. Main sedap mulut aje bila bercakap.
“Zara dah ada buah hati?”
Teh tarik yang baru melalui rongga trakea seperti mahu keluar melalui rongga hidung! Gila soalan straight to the point. Memang jenis yang tulus dan jujur betul Firdaus ni.
Soalan Firdaus hanya dijawab dengan senyuman oleh Azara.
“Dah la kau makan cepat capati kau tu. Aku punya mee goreng mamak sepinggan ni pun dah habis. Kau tu cakap tak henti-henti sejak tadi..” Razlan menepuk perlahan meja kayu di hadapan mereka.
Sibuk aje Firdaus ni nak ambil tahu pasal Razlan. Ei, memang penyibuk tahap dewa ni!
“Aku tengah makanlah ni. Makan sambil berbual dengan Zara. Kau makan tak bercakap-cakap sebab tu habis.”
You tu makan cepat sikit, I nak balik rumah mama malam ni. Nanti balik lambat sangat mama risau pulak!”
Firdaus menahan gelak. Sejak bila pula Puan Sofiah pandai membebel kalau Razlan balik lewat? Tak pernah pula dia dengar Puan Sofiah membebel. Takkanlah sejak dua menjak ni Puan Sofiah dah jadi kaki bebel pula?
“Makanlah kau tu Daus, tak payah nak tenung muka kacak aku ni!”
“Perasan!” Firdaus tergelak kecil melihat Azara terkial-kial menyuap mee goreng mamak ke dalam mulutnya.
Pinggan plastik berwarna biru cair ditarik kasar oleh Razlan. Azara tercengang-cengang. Tak sopan betul Razlan ni.. Dia tengah makan boleh Razlan ambil pinggan dia?
Selamba mee goreng mamak itu disuap ke dalam mulut sendiri. “Kalau tak suka cakap ajelah, tak payah nak diam.”
Razlan tak tanya pun dia nak makan apa tadi, main order aje. tup-tup sampai mee goreng mamak dua pinggan atas meja. Takkan dia nak cakap tak nak kot? Nak kena jerkah dengan Razlan depan orang ramai ni? Tak kuasa dia!
You tak suka mee goreng mamak kan?”
Azara angguk. Macam mana Razlan tahu dia tak suka mee goreng? Melihat Razlan sudah menghabiskan suku daripada mee dalam pinggan itu, hati Azara bersorak riang. Yahooo, tak perlu paksa habiskan mee goreng tadi. Lega!

p/s: Kepada semua minta maaf lagi sebab Sri lambat up entry baru. Maaf. Maaf.. Saya sangat sibuk sekarang ini. Tengah tulis manuskrip CTAB ni laju-laju tapi seminggu dapat la siap 1 atau 2 bab.. Memang takde masa nak menulis sebab banyak kerja tertangguh dan banyak sangat kerja nak kena siapkan. Tak sabarnya nak hujung tahun. Tolong.. tolong. Saya perlukan cuti. :(
Terima kasih yg tak terhingga kepada yang sudi baca, komen dan say hai hai. Thanks a lot! Maaf kalau Sri takde reply komen korang semua.. Baca tapi tak sempat nak reply. Kalau reply pun lama sangat baru reply. Sobs. Jangan marah ye korang-korang semua.
KPI dan ADDS nanti bila Sri ada masa Sri up entry baru ye. *Janjiku ini bukan janji palsu tapi ku tiada masaa. Sobs.*

4 comments: