Tuesday 27 August 2013

Bab 18 Cinta Tak Akan Berakhir


“Haleda kalau ada orang cari I cakap I keluar.”

Haleda tegak berdiri di depan Razlan. “Encik Razlan nak ke mana?”

“Eh sejak bila pula kalau I nak ke mana-mana I kena cakap dengan you?” Suara Razlan sedikit bengang. Banyak tanya pula Haleda ni.

“Takdelah.. kalau ada orang datang cari Encik bolehlah saya cakap yang Encik ada urusan di luar.”

Then cakap je I ada urusan tak payah sibuk tanya I nak ke mana.” Razlan melangkah pergi meninggalkan Haleda menahan geram.

Pen ditangan dicampak ke atas meja. “Bukannya susah pun kalau cakap ke mana! Nak juga berahsia.. Menyampah aku!”

“Amboi siap campak pen lagi ni.. Marahkan siapa?” Haleda panggung kepala mencari wajah Azam.

“Marahkan bos. Awak nak apa ni?” soal Haleda acuh tak acuh. Malas nak berbual sekarang ini, takde mood.

“Zara mana? Dah dekat pukul dua ni takkan tak balik makan lagi? Dia keluar dengan siapa?”

“Kakak dia. Mungkin kejap lagi balik kot. Ada sepuluh minit lagi pukul dua. Alah, tak sabar-sabar nak tengok muka buah hati ya?”

Azam tergelak kecil. Tak sabar sangat. Dah la semalam Azara tak datang kerja, dia rindu separuuh mati dengan wajah jelita Azara.

“Dia ada cakap tak dengan awak kenapa dia tak masuk kerja semalam?” Haleda menggeleng. Dia pun tak sempat berbual dengan Azara pasal semalam.

Semalam pun sama juga, bengang dengan Razlan yang tiba-tiba keluar pukul 10.30 pagi dan langsung tak masuk kerja sampai petang. Encik Latif pula tak henti-henti menelefon dia tanya mana Razlan. Macamlah dia ni isteri Razlan!

“Pelikkan.. Semalam Zara tak datang kerja, bos pula balik awak tak masuk kerja sampai petang. Hari ni Zara tak masuk kerja lepas lunch hour dan sama.. Bos keluar lagi. Sama-sama takde di bilik. Awak rasa dorang tu ada affair ke?” Haleda mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

“Awak pun fikir benda yang sama?” Haleda angguk. Memang dia fikirkan benda sama sejak awal-awal Azara masuk kerja lagi. Razlan tu nampak pelik sangat tapi dia fikir mungkin Razlan sengaja nak mendera Azara tapi lama-kelamaan sikap Razlan makin pelik. Sikit-sikit Azara sampaikan temankan Razlan jumpa klien pun Azara. Selalunya semua kerja tu dia yang buat bukan Azara.

“Entahlah Leda, saya memang sukakan Zara tapi kalau dia tak sukakan saya nak buat macam mana. Siapa pun pilihan Azara saya doakan dia bahagia.”

Haleda segera meningkah. “Kalau awak betul sayangkan dia awak kena dapatkan dia Zam. Saya bukan apa, Zara tu nampak lebih sesuai dengan awak berbanding bos. Cuba awak bayangkan sikap Zara yang lembut dan mudah mengalah tu, memang bos akan ambil kesempatan! Zara tu bukannya pandai melawan.. Sikit-sikit bolehlah, lepas tu dah lembut hati. Saya kenal sangat perangai Zara yang mudah mengalah tu.”

Azam angguk. Betul juga kata-kata Haleda. Memang Razlan akan mengambil kesempatan terhadap kelembutan Azara. “Mungkin bos akan berubah kalau ada Azara di samping dia kot? Manalah tahu sikap keras kepala dan ego bos akan berkurangan sebab dia betul-betul sayangkan Zara?”

“Tak mungkin.. Tak mungkin. Awak lupa ke bekas tunang bos tu dulu.. Mana ada bos layan dia macam queen pun. Acuh tak acuh aje. Bos takkan berubah untuk seorang perempuan. Jadi kalau awak tak pikat Zara, memang hidup Zara akan musnah kalau dia kahwin dengan bos.”

“Musnah yang macam mana maksud awak Leda?”

Haleda menghela nafas berat. Memikirkan malang nasib Azara sekiranya berkahwin dengan Razlan. “Zara tu baik sangat orangnya.. Kalau kahwin dengan bos saya rasa tak mustahil bos paksa Zara tu berhenti kerja. Lepas tu sikap panas baran bos tu.. Silap-silap kaki tangan naik di badan Zara. Awak sanggup ke tengok Zara kena pukul?”

Membayangkan tubuh langsing Azara berbekas dengan kesan-kesan lebam, Haleda lekas-lekas membuang bayangan yang dicipta sendiri. Tak sanggup membiarkan Azara melalui peristiwa sama yang pernah dia lalui ketika bersama Hamdi bekas suaminya dulu.

Azam menggeleng laju. Dia ikhlas sayangkan Azara tak mungkin dia sanggup membiarkan wanita kesayangan dia dipukul oleh Razlan. Memang dia akan balas dendam pada Razlan jika Razlan memperlakukan Azara dengan tidak sepatutnya.

Tersedar yang pemikiran mereka mungkin sudah melencong jauh, Azam segera kembali ke dunia realiti. “Leda, ni pandangan kita aje. Kita reka-reka cerita. Mungkin bos dengan Azara tu takde apa-apa hubungan pun. Mungkin Zara ada hal semalam. Dan hari ini ada hal mustahal agaknya, Zara masuk kerja lambat.”

Haleda tergelak kecil “Mungkin juga tu, kita aje yang fikir bukan-bukan.”

“Lagi satu Leda, bos tu  mungkin nampak aje garang dan tegas dengan semua pekerja tapi mungkin dia berlembut dengan Azara. Otak kita ni aje yang fikir bukan-bukan tentang bos. Mana tahu siapa yang jadi isteri bos ialah wanita yang paling beruntung di muka bumi ni.” Senyuman Azam disambut dengan anggukan Haleda.

“Betul juga tu Zam. Otak kita ni aje yang saja mengada-ngada nak berfikiran negatif..”

“Saya balik tempat dulu nak siapkan kerja.” Azam berlalu meninggalkan Haleda.



Belum sempat tangan Azara mengunci semula grill rumah, seseorang menerpa ke arah grill dan menolak Azara ke pintu rumah.


Azara terjerit kecil sebelum lelaki itu menekup mulut Azara dan memalingkan wajah Azara menghadap pintu rumah. “Shuuuu, senyap.” Gugusan kunci ditangan Azara diambil oleh lelaki itu dan pintu rumah terkuak luas.

Akibat terlalu terkejut, Azara terdiam. Paluan jantungnya dapat didengar oleh telinga sendiri. Sumpah memang pantas gila apa yang berlaku sebentar tadi.
“Masuk.”

Tubuh langsing Azara ditolak kasar ke dalam rumah. Sebaik sahaja masuk, Azara cuba melarikan diri ke dalam bilik namun berjaya dihalang oleh lelaki kurus yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.

Pintu utama dikunci dari dalam.

“Kau siapa?” Jerit Azara kuat.

“Aku Malik sayang…”

Malik? Siapa Malik? Dia tidak pernah mengenali sesiapa yang bernama Malik.

“Aku tak kenal kau! Baik kau keluar sebelum aku call polis.” Azara meronta dalam pelukan lelaki itu.

“Puas aku cari kau… Rupanya mudah sangat nak dapatkan kau.”

“Lepas!”  Azara tunduk menggigit tangan Malik. Lelaki itu menyeringai kesakitan. Pegangan Malik ditubuh Azara terlepas dan Azara mengambil kesempatan untuk melarikan diri ke ruang dapur. Dia perlukan senjata untuk mempertahankan dirinya.

Dia yakin Malik ialah lelaki sama yang menyerang dia dua hari yang lalu. Memang Malik! Dia kenal susuk tubuh kurus dan tinggi lelaki ini.

Pelik, macam mana Malik boleh masuk ke kawasan rumah dia hari ini? Bukankah pengawal akan bertanya terlebih dahulu kepada tuan rumah jika ada pelawat? Macam mana Malik masuk?

“Kau yang cuba takutkan aku kelmarin, kan? Kau yang tekan loceng rumah aku kelmarin, kan?”

Malik ketawa kuat.. “Sayang takutkan abang ke? Mari sini abang belai sayang..”

Abang? Sayang? Gelinya! Dia tak sanggup membiarkan tubuhnya dibelai oleh lelaki berjambang ini. Muka macam penjenayah ada hati nak membelai dia. Pergi mampus.

“Aku bukan sayang kau. Lebih baik kau pergi.” Tangan Azara terketar-ketar sambil menghunus pisau ke arah Malik yang sedang berjalan mendekatinya di ruang dapur. Tidak sedikit pun nampak gentar dengan ugutan Azara.

“Kalau kau dekat aku bunuh kau!” Sekali lagi pisau dilayur-layur di hadapan Malik. Tidak berkutik sedikit pun. Tangan Azara pula yang menggigil menahan takut yang amat sangat.
“Marilah bunuh abang sayang.. Abang rela mati dalam pelukan Zara.”

“Mana kau tahu nama aku? Kau siapa? Kenapa kau serang aku? Apa kau nak buat pada aku?” Bertubi-tubi soalan Azara. Pisau masih lagi diacah-acah ke arah Malik.

Sekali lagi tawa besar terbit dari mulut Malik. Bukan main suka lagi lelaki itu ketawa. Azara berjalan mengelilingi ruang dapur yang sederhana luas itu.

“Jangan main dengan pisau Zara, bahaya..” Malik memujuk Azara supaya meletakkan pisau semula namun tidak diendahkan oleh Azara.

“Siapa upah kau?”

Melihat pegangan pisau Azara yang menggeletar dan tidak yakin, Malik segera menangkap tangan kanan Azara. Pisau dalam genggaman Azara jatuh ke lantai. Malik menolak Azara rapat ke kabinet dapur.

“Kan abang dah cakap jangan main pisau…” Pipi gebu Azara diusap lembut.

“Apa kau nak? Kau nak merompak kau ambillah apa yang kau nak..” Kepala Azara cuba mengelak sentuhan di pipinya.

“Abang nak sayang.”

Malik mencium hujung rambut hitam pekat milik Azara. Mata dipejam menikmati keindahan yang terhidang depan mata. Wangi..

“Jom.”

Azara menolak dada Malik dengan kuat sebelum dia jatuh tersungkur di lantai dapur akibat tangannya yang direntap kuat oleh Malik. Blouse lengan panjang yang dipakai oleh Azara terkoyak di bahagian bahu menampakkan bahagian bahu kiri Azara.

“Jangan apa-apakan aku..”

Malik sudah duduk menindih peha Azara. Tangan Azara menumbuk bebas dada kecil Malik. Dia tidak sanggup sekiranya titik hitam ini terpalit dalam kisah hidupnya.. Tidak sanggup untuk berdepan dengan tohmahan masyarakat.

Leher pulih melepak Azara dicium lembut. “Abang takkan berkasar dengan Zara sebab abang sayangkan Zara..”

“Jangan.  Jangan.. Tolong jangan apa-apakan aku.”

Azara dapat merasai ciuman lembut Malik di lehernya sambil tangan kiri Malik membuka butang blouse yang dipakai oleh Azara.  Mata dipejam rapat. Tidak sanggup melihat perlakuan Malik terhadap tubuhnya. Dia tidak rela. Andai sahaja dia mendengar cakap Razlan supaya berhenti di tepi jalan sebentar tadi mungkin semua ini tidak akan berlaku.

“Zara jangan takut dengan abang. Abang takkan pukul Zara.” Ibu jari Malik menyentuh lembut bibir Azara yang terketar-ketar. Bibir merah jambu tanpa secalit gincu. Sangat memukau pandangan mata.

Butang blouse yang sudah terbuka dua biji menampakkan sedikit bahagian dada Azara yang putih melepak.

“Tolong jangan apa-apakan aku..”

Air mata mengalir deras. Wajah Malik perlahan-lahan tunduk mendekati wajah Azara. Azara segera berpaling ke kanan. Tidak sanggup membiarkan bibir Malik menjamah bibirnya.

“Zara segan dengan abang ya?”

Tangan Malik memegang kuat kedua-dua belah pipi Azara. Memaksa kepala Azara memandang ke atas. Dia mahu menjamah bibir cantik Azara. Teramat cantik!

“Jangan apa-apakan aku, tolonglah!” Rayuan Azara masih berlagu dibibirnya.

“Zara!”

“Tolong…!” Sebaik sahaja mendengar seseorang melaungkan namanya Azara segera menjerit meminta pertolongan.

“Zara!” Laungan nama Azara semakin kuat.

Malik hilang punca. Tubuhnya yang menindih tubuh Azara segera bangkit.

“Zara!!!”


Tangan Malik menekup mulut Azara. “Shuu…” Tangan kanan Malik diletakkan di bibirnya menunjukkan isyarat senyap kepada Azara.

Suara semakin dekat. Malik semakin tidak senang duduk. Rahsia dia akan terbongkar sekiranya dia tertangkap oleh lelaki yang sedang menuju ke arah dia dan Azara sekarang ini. masih terlalu awal untuk mendedahkan dia dan semua rahsia yang sedang dia simpan. Tidak! Dia tidak boleh tersalah langkah.  Malik bangkit. Segera tubuhnya berdiri tegak dan meluru keluar dari rumah Azara.

Hey, siapa kau?” Tubuh Malik terlanggar seseorang di bahagian ruang tamu rumah Azara. Lelaki yang dirempuh oleh Malik terjatuh dilantai akibat rempuhan yang agak kuat. “Zara?!”

Razlan berlari ke arah dapur. Melihat Azara yang terduduk memeluk lutut Razlan segera mendapatkan Azara.

Are you okay?”

Razlan serba salah. Kalau dia menarik Azara ke dalam pelukannya apa pula kata Azara. Bimbang jika Azara ingat dia sengaja mahu mengambil kesempatan.

“Zara..?” Lembut suara Razlan menyapa gegendang telinganya.

Tangisan Azara kian menjadi-jadi. Kalaulah Razlah tidak muncul mungkin dia sudah diperkosa oleh Malik.

Razlan mendekatkan dirinya kepada Azara. Melihat pakaian Azara yang koyak dibahagian bahu dia tahu Azara hampir diperkosa oleh lelaki tadi. Er, atau Azara bergaduh dengan lelaki itu dan lelaki itu mengasari Azara? Mungkin juga.

Tapi pisau atas lantai ni Azara buat apa? Takkan bergaduh pakai pisau? Lawan pedang ke apa?

What happened?”

Azara menggeleng lemah. Tangannya menarik blouse yang terdedah di bahagian dadanya. Razlan segera membuka kot yang tersarung ditubuhnya dan diletakkan di bahagian depan tubuh Azara. “You are safe now.” Kepala Azara digosok perlahan.


Melihat Azara yang tidak memberikan apa-apa reaksi, Razlan bangkit berdiri. “I tunggu you di living room. I won’t go anywhere. Pergilah masuk bilik rehat dulu.”

Senyap.

“Zara, he had left. Jangan takut lagi ya..” Perlahan-lahan kepala diangguk. “I tunggu you di ruang tamu. Rehatlah dulu lepas tu I hantar you balik rumah umi.”

Azara perlahan-lahan bangkit meninggalkan ruang dapur selepas Razlan menghilang ke ruang tamu.

Tubuh bersandar lemah di dinding bilik air. Masih terasa menggeletar seluruh tubuhnya ketika ini. Malik? Siapa Malik? Dia tidak kenal siapa lelaki yang bernama Malik. Tak pernah langsung nama itu singgah di kepalanya sebelum ini. Memang dia tiada memori tentang Malik.

Tangan meraba leher yang disentuh oleh bibir Malik sebentar tadi. Masih terasa hembusan nafas Malik di telinganya. Ya Allah… Takutnya dia! Kenapa semua ini berlaku kepada dia? Siapa yang cuba mengenakan dia?

Razlan? Bagaimana lelaki itu boleh masuk ke rumahnya? Bila Razlan ada kunci rumah dia? Air hujan yang turun dari pancur ditadah dengan tapak tangan. Membawa tangan yang dipenuhi dengan air ke leher dan mengosok rakus bahagian yang dicium oleh Malik.

Jijik!

Muka digosok kasar. Lelaki itu menyentuh mukanya. Dia ingat wajah Malik! Mata sedikit terbeliak dengan jambang yang tidak dicukur. Bibir Malik hitam akibat merokok yang terlalu banyak dan kening lelaki itu lebat. Hidung mancung dan warna kulit yang agak gelap. Sangat menakutkan dia!

Azara mengambil nafas dalam-dalam. Hatinya tidak berhenti-henti berzikir kepada Allah memohon supaya dia lebih tenang.

Selepas hampir satu jam berkurung dalam bilik air, Azara melangkah keluar dengan sehelai tuala tersangkut di tubuh langsingnya. Yakin bahawa Razlan takkan terjah macam itu aje, ini rumah dia kot. Nak masuk ketuk pintu dulu.

Sehelai maxi labuh tanpa lengan separas buku lali ditarik keluar dari almari. Rasanya lebih selesa memakai pakaian longgar seperti ini. Dia perlukan cuti petang ini. Memang tak boleh nak masuk kerja semula. Macam mana nak bekerja dengan muka dan mata yang bengkak macam ni? Nanti orang ingat dia mati laki pula menangis bagai nak rak.

Azara melangkah keluar dari bilik. Yakin dia mampu untuk berdepan dengan Razlan sekarang ini. Baik betul Razlan tadi, langsung tak tanya banyak bila dia diam tak mahu bercakap. Kalau dipejabat bukan main lagi tunjuk yang dia tu bos besar!

Melihat sekujur tubuh yang terbaring di sofa berangkai tiga, Azara tersenyum sedikit. Rambut yang masih tidak kering sepenuhnya ditolak ke belakang telinga. Kaki melangkah melangkah ke arah dapur. Rasanya dua batang pisau yang dia acah-acah kepada Malik tadi masih ada di atas lantai.

Bibir mengulum senyuman. Mesti Razlan dah simpan masa di mandi tadi.

Peti sejuk dibuka. Sekotak Peel Fresh Orange ditarik keluar dan dituang ke dalam gelas sebelum diteguk perlahan air di dalam gelas itu.  “You dah okay?” Tubuh Azara tersentak dengan teguran di belakangnya.

Pergh! Nasib baik tak tersedak.

Gelas diletakkan di dalam sinki. Azara kalih tubuh ke belakang. Memandang wajah Razlan yang baru bangun tidur. “Nak minum?”

“Boleh juga.”

Sebiji gelas ditarik dari almari. Air dalam kotak dituang ke dalam gelas sehingga penuh dan dihulurkan kepada Razlan. “Jomlah duduk dekat depan.” Kaki Azara melangkah mendahului Razlan.

“Cuti kerja petang ni boleh?” Razlan tersenyum kecil dan kemudian mengangguk. Lega! “Macam mana awak boleh masuk rumah saya?”

“I kan ada kunci rumah you. Terlupa nak pulangkan.” Ya tak ya! Razlan ada kunci rumah dia. Nasib baiklah Razlan terlupa nak pulangkan kunci semula, kalau dah pulangkan kunci macam mana Razlan nak terjah masuk rumah dia tadi.

Sorry I main terjah masuk rumah you tadi sebab I tengok grill tak berkunci. Lepas tu ada kasut lelaki dekat depan. Risau juga I takut ada apa-apa yang berlaku.” Azara senyum segaris. Mesti Razlan ingat dia kenal dengan Malik.

“Lelaki tadi serang saya masa saya nak masuk rumah. Saya pun tak kenal dengan dia.” Azara bersuara lemah. Seram pula bila memikirkan kejadian tadi. Tiba-tiba sahaja seorang lelaki muncul dan menarik kuat grill rumahnya. Memang terkedu sekejap dibuatnya.

“Siapa lelaki tu?”

Azara jongket bahu. “Saya rasa dia lelaki yang sama serang saya dua hari lepas dan orang yang sama yang ada depan rumah saya kelmarin. Saya cam susuk tubuh dia walaupun haritu dia pakai topeng.”

“Kenapa hari ni dia tak pakai topeng?”

Razlan ni tanya dia soalan macamlah dia tahu nak jawab. Manalah dia tahu kenapa Malik muncul tanpa topeng hari ini. “Saya tak tahu… Dia cakap nama dia Malik. Saya tak pernah ada kawan nama Malik. Saya memang tak kenal dia.”

“Zara, mungkin you kenal dia. Cuba you ingat betul-betul.” Azara menggeleng.

“Tak, saya memang tak kenal dia. Puas saya fikir siapa dia tapi memang saya tak ingat langsung. Takde ingatan tentang dia langsung! Awak jangan beritahu umi pasal hal ni ya? Saya tak nak umi risau.”

“Zara, kalau kita rahsiakan perkara ini sekalipun lelaki yang kononnya bernama Malik tu akan serang you lagi. Macam mana dia boleh masuk kawasan rumah you? Dia tinggal di sini?” Rasanya dah beberapa kali Razlan warning kepada pengawal agar menjaga kawasan perumahan ini dengan lebih elok. Dah dua kali Azara diserang dan kali ini penyerang itu berjaya masuk ke dalam rumah.

“Tak tahu.. Saya tak pernah nampak dia.”

“Sekarang you kena dengar cakap I. I takkan biarkan you sorang-sorang lagi. Ada orang cuba aniaya you. Kalau nak ke mana-mana cakap dengan I.”

Azara angguk. Kali ini dia mengalah sebab dia pun takut juga andai lelaki bernama Malik itu muncul sekali lagi. Memang menyeramkan! Sumpah dia takut gila.